KUANTAN: Berbekalkan ilmu agama yang tinggi dan mahir dalam ilmu persilatan serta berkemahiran hidup dalam hutan, tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang 2022 dinobatkan kepada pahlawan Melayu negeri ini, Mat Kilau.
Anugerah itu disampaikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatudin Al-Mustafa Billah Shah kepada cucu pahlawan Melayu itu, Mohd. Alhamadi Abu Bakar.
Mohd. Alhamadi berkata, beliau terharu atas penganugerahan tersebut kepada datuknya yang dipanggil ‘Aki Kilau’.
Menurutnya, zikir dan surah al-Ikhlas merupakan amalan yang dilakukan Mat Kilau pada setiap hari dan ia telah pun diperturunkan kepada anak dan cucunya sehingga kini.
“Alhamdulillah.. bagi saya anugerah ini membangkitkan lagi semangat keluarga kami dan juga masyarakat terutama orang Melayu untuk mengembangkan dan meningkatkan lagi syiar Islam,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Pahang di sini hari ini.
Dalam pada itu, di majlis tersebut, Mohd. Alhamadi sebagai wakil penerima menerima wang tunai sebanyak RM10,000 hadiah iringan dan sijil penghargaan.
Mohd. Alhamadi yang juga merupakan Yang Dipertua Pertubuhan Seni Silat Tapak Setia Suci Warisan Mat Kilau berkata, akan memanfaatkan sepenuhnya wang sumbangan yang diperoleh itu.
Katanya, wang itu akan digunakan untuk menaik taraf gelanggang seni silat mereka dan Galeri Mat Kilau di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Garuda, di sini.
Mat Kilau atau nama sebenarnya Muhammad Khatib Rasu Abd. Salam dilahirkan pada 1866 dan meninggal dunia 1970 ketika berusia 104 tahun.
Ketika masih hidup, Mat Kilau pandai mengaji al-Quran, berzanjir, berdikir maulud dan berdikir rebana yang turut dikenali sebagai Dikir Pahang.-UTUSAN