MELAKA: Kehadiran mengejut pelakon utama filem pecah panggung Mat Kilau, Datuk Adi Putra ke Majlis Perasmian Pembukaan Kejuaraan Silat Dunia Ke-19 telah menggamatkan suasana di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, malam tadi.
Kehadiran Adi Putra selaku penampilan khas telah menyampaikan monolog berkaitan seni silat dan bangsa Melayu, berjaya menyentuh hati kira-kira 600 peserta dan penonton kejuaraan tersebut.
Tampil ringkas berbaju Melayu hitam, bersongkok dan mengenakan kain Rida’ di atas bahu, Adi Putra dalam monolognya berkata, silat tidak akan pupus di persada dunia kerana seni bela diri tradisi itu amat sinonim dengan orang Melayu.
“Silat itu adalah warisan leluhur. Silat itu adalah jubahmu. Silat itu adalah kain kapanmu. Tak kan hilang silat di mata dunia,” katanya.
Beberapa dialog popular dalam filem Mat Kilau turut dilontarkannya secara langsung di hadapan hadirin, lantas mendapat tepukan gemuruh dan sorakan orang ramai.
“Kekuatan orang Melayu bukan terletak pada senjatanya, ia terletak pada kebijaksanaanya dan takwanya kepada Allah. Jika hidup ini kita mengejarkan duniawi, tidak diutamakan ukhrawi, maka kita adalah hamba ataupun insan yang sia-sia, yang tidak bermanfaat kepada maha esa.
“Islam agamaku, Melayu bangsaku, tak kan hamba duduk berdiam diri melihat apa yang mereka laksanakan, lakukan kepada bangsaku. Orang Melayu tidak akan kekal mulia dengan adat, kesultanan dan budaya semata-mata. Tetapi ia akan kekal mulia dengan berpegang kepada akidah, berpegang teguh dengan Islam,” ujarnya pada majlis yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.
Dalam pada itu, Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, silat merupakan jambatan penghubung antara kebudayaan Melayu dengan masyarakat antarabangsa.
Beliau berkata, ia juga merupakan platform terbaik untuk mengangkat kesenian Nusantara melalui ribuan pesilat yang aktif di seluruh dunia termasuk Eropah, Afrika, Asia Timur dan Asia Tengah.
“Ia adalah satu penghormatan besar buat negara untuk menjadi tuan rumah kepada lebih 40 buah negara yang mengambil bahagian untuk edisi ke-19 ini. Malaysia berbangga dan berbesar hati untuk menganjurkan pertandingan sukan bertaraf dunia seperti ini dan amat berharap banyak lagi acara sukan berprestij dapat dianjurkan di tanah air.
“Silat sudah semakin diterima bukan sahaja di rantau ini, malah dunia persilatan kini semakin berkembang sehingga negara-negara luar yang tidak berkongsi budaya, adat resam dapat mempelajari dan mempamer kehebatan mereka dalam seni silat. Malah, perbezaan inilah yang menyatukan kita semua sebagai pengamal seni silat,” katanya ketika memberikan ucapan aluan. – UTUSAN