Masjidilharam penuh isyarat kemuncak haji

Masjidilharam penuh isyarat kemuncak haji

JEMAAH haji memenuhi ruangan tingkat atas Masjidilharam dua jam lebih awal sebelum masuk waktu Maghrib. - IHSAN UMI KALTHUM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suasana meriah di setiap sudut kota Mekah yang kini dipenuhi jemaah berbanding tiga minggu lalu, menandakan kemuncak ibadah haji semakin dekat.

Rata-rata jemaah perlu keluar awal dua jam dari hotel untuk mendapatkan peluang menunaikan solat jemaah di dalam Masjidilharam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, jemaah haji dari Semenyih, Selangor, Zamri Zainul Abidin, 52, berkata, dia tidak dapat menggambarkan perasaannya dan bersedia menunggu hari wukuf Jumaat ini.

“Pemerhatian saya, sekarang jemaah haji sudah sampai kemuncak kerana sudah memenuhi seluruh ruang Masjidilharam, sama ada di dalam mahupun di luar masjid.

“Alhamdulillah, perasaan saya dan isteri berasa sangat teruja dan bercampur baur apatah lagi setelah dimaklum haji tahun ini adalah Haji Akbar, yang mempunyai kelebihan tersendiri. Berdoa semoga Allah permudah segala urusan.

“Ketika berjalan di sekitar Masjidilharam dan pulang ke hotel melihat jemaah haji bergerak ibarat sungai yang mengalir, keadaan sangat meriah, jemaah haji pelbagai negara tak putus-putus tiba di Mekah,” katanya.

Menurut Zamri, kemuncak ibadah haji semakin dirasai apabila ibadah tawaf dan saie melibatkan pergerakan safa ke marwah dilihat sudah sesak ketika ini.

“Ini juga termasuk kedai-kedai sudah dipenuhi jemaah haji yang membeli pelbagai barangan untuk dijadikan hadiah dibawa pulang ke tanah air kelak.

“Insya-Allah akan terus menimba ilmu sebelum hari wukuf dengan mengikuti ceramah disediakan Lembaga Tabung Haji. Doktor juga memberi nasihat agar menjaga kesihatan dan kurangkan aktiviti luar,” katanya.

Sementara itu, jemaah dari Salak Tinggi, Sepang, Ahmad Ainullutfi Azzman, 29, berkata, semua jemaah gembira mendapat berita tahun ini adalah Haji Akbar.

“Haji Akbar dilihat istimewa kepada mereka yang datang menunaikan haji pada tahun ini. Lebih-lebih lagi ini adalah panggilan haji yang pertama setelah dua tahun.

“Ramai juga rakyat Malaysia laksanakan korban tahun ini di Mekah bagi mereka yang menunaikan ibadah haji, termasuk saya yang mewakili ibu saya,” katanya.

Menurut Ainullutfi, waktu berada di Arafah pasti mempunyai pelbagai cabaran kerana di sana mengumpulkan lebih daripada satu juta jemaah pada satu tempat yang sama.

“Cabaran ini memerlukan persediaan mental dan fizikal dan bagi saya cabaran yang terbesar mungkin kekurangan tandas untuk berkongsi dengan jemaah yang ramai,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya