SUNGAI PETANI: Fenomena filem Mami Jarum yang ditayangkan pada 2002 memperlihat teraju utamanya, Kartina Aziz yang membawa watak Fatimah sering memperagakan kebaya-kebaya cantik ketika ‘mencanang’ kisah orang lain.
Kini selepas 20 tahun, pelakon veteran yang menginjak usia 65 tahun itu menyerahkan koleksi peribadi kira-kira 30 koleksi baju kebaya miliknya yang dipakai dalam filem itu untuk tujuan amal bagi menampung perbelanjaan rumah kebajikan anak yatim dan warga emas.
Jelasnya, kebaya tersebut cukup istimewa buatnya kerana ia dihasilkan di sebuah butik jahitan terkenal di Alor Setar sebelum dihantar ke Bangkok, Thailand bagi jahitan sulaman kerawang.
“Saya lakukan itu semata-mata nak menjiwai watak yang turut dilengkapkan hiasan selendang dan barang kemas bagi menyerlahkan penampilan.
“Meskipun, baju-baju kebaya tersebut sudah lama tersimpan, namun rekaan serta fabriknya masih elok.
“Ia mempunyai nilai sentimental yang tersendiri, diharap mampu menjadi ‘saham’ berpanjangan serta memberi manfaat kepada lebih ramai pihak,” katanya ketika ditemui di Butik Qasehku.com di Taman Ria semalam.
Hasil jualan akan digunakan untuk perbelanjaan rumah jagaan anak yatim, warga emas dan beberapa rumah mengaji al-Quran yang dibuka secara percuma kepada golongan sasar di Merbok dan Sungai Petani.
Menurut Kartina, jika hendak memberi, dia beranggapan benda atau koleksi yang paling disayangi adalah barangan yang sesuai walaupun pernah diminta oleh beberapa pihak untuk dibeli dengan harga yang tinggi.
“Tetapi saya tidak bersedia untuk menjualnya, jadi oleh kerana terlalu sayang dengan koleksi ini saya putuskan untuk mewakafkannya agar mampu memberi manfaat kepada saya dan orang lain,” katanya.
Tambahnya, pemilihan Butik Qasehku.com itu juga bertepatan apabila kakitangannya, Ahmad Zarrin Anas Ahmad Kamal, 31, berstatus orang kurang upaya (OKU) dan seorang lagi pekerja, Muhammad Hazrul Naim, 19, pula anak yatim.
Sementara itu, pengasas Butik Qasehku.com, Naripah Abu berkata, segala jualan di butiknya itu menawarkan harga baju serendah RM10 yang sering menjadi tumpuan penduduk setempat sejak dibuka tahun lalu. – UTUSAN