MAIWP beri peruntukan RM9.72 juta biasiswa untuk pelajar asnaf

MAIWP beri peruntukan RM9.72 juta biasiswa untuk pelajar asnaf

IDRIS Ahmad (tengah) menyaksikan MAIWP menyerahkan replika cek biasiswa bernilai RM9.72 juta kepada wakil pelajar UCMI yang layak menerima di Bangunan Bank Rakyat Jalan Tangsi, Kuala Lumpur, hari ini. - FOTO/IHSAN UCMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) meluluskan bantuan zakat berupa biasiswa berjumlah RM9.72 juta kepada 180 pelajar Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) yang terdiri dari kalangan keluarga asnaf.

Naib Canselor UCMI, Prof. Dr. Wan Mohd. Azizi Wan Sulaiman berkata, penerima biaswa tersebut akan menikmati tajaan penuh dari pelbagai sudut bagi memastikan perjalanan mereka semasa melanjutkan pengajian dipermudahkan.

Menurut beliau, setiap daripada penerima biasiswa yang terpilih juga akan menerima wang saku bulanan sebanyak RM500 sepanjang tempoh pengajian.

“Seramai 180 pelajar UCMI yang terdiri dari kalangan keluarga asnaf, dipilih untuk menerima biasiswa ini. Pelajar-pelajar akan menikmati tajaan penuh yuran pengajian, penginapan dan juga pengangkutan semasa melanjutkan pengajian di UCMI.

“Penerima biasiswa ini juga akan turut diberikan wang saku bulanan sebanyak RM500 sebulan sepanjang mereka menuntut ilmu di UCMI bagi menampung kos sara hidup pelajar,” katanya semasa perasmian majlis penjenamaan UCMI dan kampus bandar.

Majlis perasmian itu turut dihadiri dan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad di Dewan Utama, Kampus Bandar UCMI, Bangunan Bank Rakyat di sini.

Wan Mohd Azizi berkata, UCMI sentiasa beruntung kerana bernaung di bawah MAIWP kerana sentiasa membantu demi kesejahteraan golongan ummah yang memerlukan dengan menyediakan pelbagai biasiswa untuk pelajar asnaf di pusat pengajian itu.

“Usaha ini sangat bermakna buat pelajar-pelajar sehingga melahirkan ribuan graduan yang berjaya menempatkan diri di sektor pekerjaan. Semoga Allah SWT membalas kebaikan pembayar zakat di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, UCMI turut menjalinkan kerjasama strategik melalui majlis ringkas pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Pharmaniaga, Yayasan Prihatin Nasional, MATAN Centre Solutions Engineering Sdn. Bhd., Bulan Sabit Merah Malaysia, QL Maxincome Sdn. Bhd (Family Mart) dan Kauthar Wealth Management Sdn. Bhd.. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya