Mahkamah Sivil tiada kuasa semak keputusan Mahkamah Syariah

Mahkamah Sivil tiada kuasa semak keputusan Mahkamah Syariah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Syariah mempunyai kuasa untuk mendengar dan memutuskan permohonan mana-mana individu beragama Islam untuk keluar daripada agama tersebut dan Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa menyemak sebarang keputusan yang dibuat oleh mahkamah terbabit berkenaan isu murtad.

Menurut Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid, Mahkamah Syariah telah bertindak dalam ruang lingkup kuasa yang diberikan kepadanya untuk mendengar dan memutuskan permohonan sedemikian sebagaimana diperuntukkan oleh Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan.

“Pemohon gagal menunjukkan bahawa keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Syariah adalah tidak sah, tidak wajar, tidak rasional dan melanggar prosedur.

“Mahkamah juga mendapati isu utama permohonan ini tidak boleh diubah melalui semakan kehakiman,” kata Hakim Ahmad Kamal sebelum menolak permohonan seorang wanita yang memohon kebenaran untuk mencabar keputusan Mahkamah Syariah bertarikh 27 Julai 2020.

Pada 29 Jun lalu, Hakim Ahmad Kamal menolak permohonan tersebut dengan kos RM2,000. Penghakiman penuh mahkamah diperoleh media hari ini. 

Pada 27 Julai 2020, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur menolak permohonan wanita berusia 32 tahun itu agar dirinya diisytiharkan sebagai bukan Islam dan sebaliknya beragama Budha.

Antara alasan yang diberikan yang diberikan Mahkamah Syariah dalam menolak permohonan tersebut ialah wanita yang tidak dinamakan itu dilahirkan oleh pasangan beragama Islam dalam perkahwinan yang sah oleh hukum syarak.

Pada 8 Disember 2021, Mahkamah Rayuan Syariah mengekalkan keputusan tersebut atas alasan mahkamah terdahulu tidak terkhilaf apabila menolak permohonan wanita terbabit.

Menurut penghakiman penuh tersebut, Hakim Ahmad Kamal menyatakan berdasarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan wanita itu adalah jelas relif yang dimohon oleh wanita itu adalah untuk diisytiharkan sebagai bukan Islam.

“Pengisytiharan untuk keluar daripada Islam adalah jelas termaktub dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Perlu ditekankan di sini bahawa semakan kehakiman yang dimohon adalah untuk menyemak keputusan Mahkamah Syariah yang menolak permohonan pemohon untuk keluar daripada Islam.

“Permohonan ini bukanlah semakan kehakiman terhadap keputusan Mahkamah Syariah yang dibuat di luar bidang kuasanya sebaliknya ia adalah permohonan untuk menyemak keputusan dibuat dalam ruang lingkup kuasanya.

“Adalah jelas, Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan permohonan untuk keluar Islam. Sejak dari awal lagi, apa kuasa yang ada pada Mahkamah Sivil untuk menyemak keputusan oleh Mahkamah Syariah (berhubung permohonan keluar Islam),” kata Hakim Ahmad Kamal.

Menurut permohonan semakan kehakiman yang difailkan wanita itu, dia mendakwa tidak pernah mengamalkan ajaran Islam malah ibunya juga membenarkannya memilih dan mengamalkan agama yang dipilihnya.

Sehubungan itu beliau memohon perintah daripada Mahkamah Tinggi Syariah pada tahun 2018 untuk mendapatkan perintah keluar daripada Islam kerana mahu mengamalkan ajaran Buddha.

Mahkamah Tinggi Syariah kemudian memerintahkannya menghadiri 12 sesi kaunseling sebelum menolak permohonan wanita terbabit keluar daripada agama Islam pada tahun  2020 serta memintanya mendapatkan lebih banyak kaunseling dan keputusan berkenaan dikekalkan Mahkamah Rayuan Syariah. 

Beliau kemudian merujuk kepada mahkamah sivil untuk membatalkan keputusan mahkamah syariah dengan mendakwa keputusan berkenaan melanggar Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya