Lulusan kejuruteraan ‘lari bidang’ pilih tanam timun - Utusan Malaysia

Lulusan kejuruteraan ‘lari bidang’ pilih tanam timun

RABIATUL Adawiyah Nordin menuai hasil tanaman timun yang diusahakannya di Felda Pasir Besar, Gemas, Tampin. – UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Seorang lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejurute­raan (Biosistem) dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) mahu menjadikan bidang pertanian sebagai sumber pendapatannya sekeluarga, biarpun terpaksa ‘lari bidang’.

Menamatkan pengajian pada 2018, Rabiatul Adawiyah Nordin, 30, tidak mahu berterusan menunggu tawaran peluang pekerjaan yang ‘sepatutnya’ menjanjikan gaji lebih lumayan.

Malah jelasnya, sokongan suami, Ikmal Safiqraz Abdullah, 30, menguatkan semangat untuk mengusahakan tanaman timun di tanah seluas kurang satu ekar di Felda Pasir Besar, Gemas di sini.

Menurutnya, projek tanaman timun itu diceburi hasil bantuan modal ditawarkan agensi kerajaan melalui Program Agropreneur Muda dan tanah yang dimohon daripada pihak Felda.

“Kami usahakan tanaman ini dua tahun lalu dan berdepan cabaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta pasaran jualan tidak menentu.

“Namun saya dan suami tidak patah semangat dan te­rus mengusahakannya. Sehingga penghujung Jun lalu, kami sudah menuai hasil timun lebih lima tan serta pasarannya dibantu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA),” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Jelasnya, sebelum ini, dia mengusahakan tanaman cili fertigasi, namun kerana kurang pengalaman, projek itu tidak mengeluarkan hasil diharapkan.

“Kami kemudian pilih projek timun menggunakan teknik fertigasi gantung. Ia lebih fleksibel untuk mengutip hasil tanpa perlu membongkok serta tanaman juga tidak terganggu dengan rumput.

“Alhamdulillah, kini kami memperoleh pendapatan agak baik, tetapi, lebih penting kami dapat membantu meningkatkan hasil pertanian dalam negara,” katanya yang turut me­nyarankan lulusan universiti melihat bidang pertanian sebagai satu pilihan kerjaya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN