KOTA BHARU: Sebilangan besar pengguna termasuk mereka yang berurusan dengan premis perniagaan di jalan Sultan Yahya Petra di sini berdepan ‘perangkap’ sejak Disember tahun lalu apabila longkang dibiarkan tanpa penutup.
Tinjauan pemberita di lokasi hari ini pemilik premis di kawasan tersebut kon, kayu palet dan tayar sebagai tanda amaran.
Seorang peniaga lantai vinyl (SPC) Hong Puan Chaw 60, berkata, penutup di hadapan premisnya terjatuh ke dalam longkang pada kejadian Disember tahun lalu selepas sebuah kenderaan lori yang membawa muatan barangan melalui jalan tersebut.
Menurutnya, berikutan itu dia telah menghubungi pihak berkuasa tempatan (PBT) dan beberapa jabatan lain namun tiada sebarang tindakan diambil sehingga kini.
“Sejujurnya saya kecewa dengan sikap pihak berwajib yang banyak memberikan alasan dan meminta supaya berhubung dengan pihak lain bagi menyelesaikan masalah ini.
“Untuk keselamatan pengguna saya mengambil inisiatif dengan meletakkan kon di kawasan penutup longkang berukuran panjang dan lebar dianggarkan seluas dua meter,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Puan Chaw memberitahu, sebuah kenderaan hampir mengalami kerosakan selepas tayar belakang hampir terjatuh ke dalam longkang.
Katanya, dia berharap pihak berkenaan dapat segera bertindak bagi mengelakkan kejadian lebih teruk.
“Lebih membimbangkan apabila lori dan ambulan kerap melalui jalan ini yang merupakan laluan utama ke Kota Bharu, selain kenderaan orang kenamaan.
“Oleh itu saya berharap sangat pihak berkenaan mengambil tindakan segera bagi mengelak kejadian penutup longkang di sepanjang jalan ini terjatuh ke dalam longkang,” ujarnya. – UTUSAN