Lokman Noor Adam mahu prosiding hina mahkamah diteruskan

Lokman Noor Adam mahu prosiding hina mahkamah diteruskan

LOKMAN Noor Adam hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi menghadapi tuduhan menghina mahkamah. - FOTO/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Prosiding menghina mahkamah ke atas bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam akan diteruskan selepas Ahli Majlis Tertinggi itu ‘tidak memohon maaf atas perkara yang tidak dilakukannya’.

Pada prosiding hari ini, peguam belanya, K. Balaguru memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah beliau telah menasihatkan anak guamnya agar tidak memohon maaf.

“Saya telah menasihatkan anak guam saya supaya tidak memohon maaf atas perkara yang tidak dilakukannya. Sekarang ini terdapat keterangan dengar cakap. Apa yang dinyatakan oleh anak guam saya dengan apa yang dilaporkan oleh (Timbalan Pendakwa Raya) Datuk Raja Rozela Raja Toran kepada mahkamah adalah berbeza,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, Balaguru menyatakan Lokman tidak pernah menyatakan polis mahkamah, Lans Koperal Walter bodoh sebaliknya menyatakan prosedur operasi standard (SOP) berhubung penggunaan telefon bimbit dalam mahkamah yang bodoh.

Balaguru: Apa yang dia (Lokman) katakan ialah undang-undang (SOP) bodoh dan bukannya merujuk kepada polis berkenaan. Insiden berlaku di galeri awam dan tidak langsung mengganggu prosiding.

Hakim Sequerah: Saya faham tetapi kita tidak boleh biarkan orang awam datang sini (mahkamah) dan buat peraturan sendiri serta menghalang polis mahkamah menjalankan tugas berdasarkan arahan yang saya berikan. Lagipun dia bukan wartawan mahkamah, apa urusannya untuk membuat catatan di mahkamah.

Balaguru: Kalau begitu peguam juga tidak boleh duduk di hadapan dan mengambil nota. Perlu duduk bersama media (di galeri awam).

Hakim Sequerah: Itu peguam pemerhati.

Hakim Sequerah: Jadi, adakah anak guam awak mohon dibicarakan?

Balaguru: Dia (Lokman) mohon dibicarakan.

Mahkamah kemudian menetapkan 3 Ogos ini untuk prosiding hina mahkamah tersebut.

Pada 30 Jun lalu, Lokman dikenakan notis tunjuk sebab selepas lelaki itu didakwa telah mengelaurkan perkataan `bodoh’ ketika ditegur polis mahkamah kerana `bermain’ telefon.

Perkara tersebut berlaku sewaktu Hakim Sequerah sedang mendengar perbicaraan kes Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa atas 47 pertuduhan membabitkan penyelewengan dana puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Terdahulu pada prosiding sama, Balaguru memohon agar beliau menarik diri daripada mengendalikan prosiding tersebut.

Permohonan tersebut dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Izalina Abdullah atas alasan insiden hina mahkamah itu berlaku dalam mahkamah tersebut.

“Kejadian berlaku dalam mahkamah (in the face of the court) dan bukannya di luar mahkamah. Isu yang dipertikaikan bukanlah mengenai penggunaan telefon bimbit dalam mahkamah tetapi lebih kepada isu menghormati sistem mahkamah yang ketika itu sedang bersidang.

“Apa salahnya kalau kita masuk tempat orang, kita ikut peraturan tempat itu,” kata pendakwa raya itu.

Hakim Sequerah kemudian memutuskan menolak permohonan Balaguru untuk menarik diri daripada terus mendengar prosiding tersebut.

“Saya merupakan individu paling layak untuk mendengar prosiding ini kerana insiden berlaku sewaktu dalam mahkamah saya dan sewaktu saya mendengar perbicaraan,” kata hakim itu.

Hakim itu bagaimanapun membenarkan permohonan Balaguru agar mahkamah mengeluarkan sapina kepada Raja Rozela agar pendakwa raya itu dipanggil memberi keterangan dalam prosiding hina mahkamah itu nanti.

Pada 15 Julai 2021, Lokman Noor dipenjara sebulan oleh Hakim Sequerah kerana menghina mahkamah selepas didapati mengugut saksi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketika menyampaikan keputusannya, Hakim Sequerah memberitahu beliau berpuas hati bahawa tindakan Lokman membuat laporan polis terhadap bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin merupakan satu ugutan yang boleh membawa kepada ancaman terhadap saksi-saksi perbicaraan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan pelaksanaan hukuman penjara ditangguhkan sementara menunggu pelupusan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Sequerah turut membenarkan bon jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu rayuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya