KOTA BHARU: Seorang pelajar Politeknik Kota Bharu (PKB) terbunuh selepas motosikal yang ditunggangi dirempuh sebuah kereta semasa melintas jalan di Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh, Padang Kala di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 12.05 tengah malam itu, Muhammad Muzafarrizal Adenan, 19, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas cedera parah pada bahagian kepala akibat tercampak sejauh 20 meter.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, siasatan mendapati, mangsa yang menunggang motosikal jenis SYM dalam perjalanan dari arah Melor ke Peringat.
Menurut beliau, sebaik tiba di lokasi kejadian, Muhammad Muzafarrizal dipercayai membelok ke kanan sebelum menaiki penghadang jalan di tengah jalan untuk masuk ke Lorong Taman Kala Perdana.
“Tindakan itu menyebabkan sebuah kereta Perodua Myvi brek mengejut namun kerana jarak terlalu dekat, kereta tersebut merempuh motosikal mangsa.
“Rempuhan itu mengakibatkan Muhammad Muzafarrizal tercampak sejauh 20 meter sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Rosdi memberitahu, mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian untuk dibedah siasat dan nahas itu disyaki berpunca daripada kecuaian mangsa yang membelok di tempat yang tidak dibenarkan.- UTUSAN