Lemang Jalan Jelebu jadi pilihan sambut Aidiladha

Lemang Jalan Jelebu jadi pilihan sambut Aidiladha

NORIZAN Talib membakar lemang di gerai jualannya yang terletak di Jalan Jelebu, Ampangan, Seremban hari ini. - FOTO/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Walaupun berdepan dengan kenaikan kos harga barangan ketika ini, persiapan untuk menyambut Aidiladha dilihat tetap meriah.

Tinjauan di Jalan Jelebu dekat Ampangan di sini mendapati ia tetap menjadi lokasi tumpuan orang ramai terutamanya bagi mendapatkan lemang sebagai juadah untuk dijamu bersama rendang.

Seorang peniaga lemang, Norizan Talib, 49, berkata, sejak semalam, jualan lemangnya itu sudah mula menjadi tumpuan malah ada yang sudah menempah sejak beberapa hari lalu.

“Sejak semalam sudah enam kali lemang dibakar dan setiap kali bakar terdapat kira-kira 800 batang lemang. Memang sambutan kali ini menggalakkan, sama seperti Hari Raya Aidilfitri lalu.

“Saya jangkakan untuk Aidiladha ini, sebanyak 7,000 batang lemang mampu dijual dalam masa dua hari. Sepanjang Aidilfitri lalu, sebanyak 20,000 batang lemang dapat saya jual.

“Jalan Jelebu memang sudah dikenali dan ramai tahu jika mereka mahu mencari lemang di sinilah tempatnya. Bukan sahaja penduduk di sekitar Seremban, mereka yang mahu pulang ke selatan seperti Johor, pasti mereka akan singgah di sini terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, seorang pembeli, Hafiz Nazrul, 40, berkata, Jalan Jelebu menjadi lokasi pilihannya bagi mendapatkan lemang dan rendang.

“Di sini memang menjadi lokasi popular, tidak kurang lima gerai yang menjual lemang. Harga juga masih berpatutan walaupun saya lihat ada kenaikan sedikit, ia dijual pada harga di antara RM12 sehingga RM17 mengikut saiz.

“Walaupun pengguna kini terbeban dengan kenaikan harga barangan mentah, tetapi untuk sambutan perayaan kali ini saya rasa mereka tiada pilihan lain dan terpaksa untuk berbelanja lebih sedikit,” katanya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN