KUALA TERENGGANU: Sebuah klip video memaparkan seorang lelaki di bandar ini yang didakwa meminta derma daripada orang ramai dipercayai dengan cara menipu, tular di media sosial sejak kelmarin.
Di dalam video terbabit, lelaki itu meminta RM40 daripada dua wanita kerana kekurangan wang untuk membayar caj penginapan sebuah hotel bajet di mana isteri dan anaknya didakwa menginap.
“Dengan izin Allah boleh tak saya nak minta tolong? ‘Wife‘ (isteri) dan anak saya dekat hotel bajet, dengan saya ada seringgit, saya perlukan RM40 untuk bayar tempat saya menginap,” kata lelaki itu.
Kejadian itu dipercayai berlaku berdekatan sebuah pusat membeli-belah di bandar ini dan mendapat reaksi daripada pengguna media sosial yang mendakwa menerima nasib sama seperti wanita terbabit.
“Pernah kena sekali, lelaki sama juga di Pasar Kedai Payang awal tahun ini. Modus operandi pun sama nak bayar hotel sebanyak RM40,” kata salah seorang pengguna di Facebook.
“Tempat ramai pelancong dia mesti ada. Selalu nampak dia ni di Pantai Batu Buruk, mungkin ‘target‘ (cari) orang luar. Hati-hati lah kalau betul dia penipu,” tulis seorang lagi pengguna.
“Kalau kita ikhlas bagi sahaja berapa yang mampu. Kalau dia ni menipu itu urusan dia dengan Allah sebab dia pun guna nama Allah dalam video itu,” luah seorang pengguna lain.
Video berdurasi tiga minit 48 saat itu menerima hampir 3,000 komen dan lebih 110,000 tanda suka di aplikasi TikTok.
Di ruangan komen turut terdapat sebuah video lain ditinggalkan seorang pengguna media sosial mendakwa sudah dua kali menjadi mangsa lelaki berkenaan dan meminta orang ramai lebih berhati-hati. – UTUSAN