Lelaki hina Islam dijel setahun

Lelaki hina Islam dijel setahun

SYAIDINAR Abu Bakar (tengah) diiring polis semasa menghadiri perbicaraan di Mahkamah Sesyen, Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang lelaki dijel setahun setelah gagal membayar denda RM10,000 yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memuat naik video menghina agama Islam dalam media sosial, 17 Julai lalu.

Tertuduh, Syaidinar Abu Bakar, 36, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mahkamah sebelum itu menetapkan hukuman denda RM10,000 dan penjara enam bulan dengan tambahan hukuman penjara enam bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda tersebut.

Tertuduh bagaimanapun tidak dapat membayar denda yang ditetapkan mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memuat naik rakaman video berdurasi empat minit 13 saat secara sedar menerusi aplikasi Facebook syaidinar.dina yang jelik sifatnya dengan niat menghina agama Islam.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di sebuah rumah di Kampung Bagan Chekok, Pulai Chondong dekat Machang kira-kira pukul 6 petang pada 17 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Syaidinar dalam rayuannya memohon mahkamah mengurangkan hukuman terhadap pertuduhan yang dihadapinya.

Wan Nurul Hanini kemudian meminta mahkamah menetapkan hukuman yang setimpal selepas mengambil kira tertuduh menghina agama Islam.

“Tindakan tertuduh boleh mencetuskan keadaan tidak aman dalam kalangan masyarakat kita. 

“Hukuman tersebut bukan sahaja memberi pengajaran kepada tertuduh, namun turut melibatkan masyarakat awam agar tidak memandang ringan terhadap kesalahan seperti ini,” katanya.

Utusan Malaysia pada 17 Julai lalu melaporkan, polis menahan seorang lelaki selepas disyaki menghina agama Islam dan Nabi Muhammad melalui satu klip video yang dibuat menerusi satu hantaran di akaun Facebook minggu lalu.

Suspek dicekup kira-kira pukul 11.30 pagi di sebuah rumah di Kampung Bagan Chekok, Pulai Chondong selepas video yang berdurasi selama empat minit 13 saat tular dalam media sosial. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya