Lelaki hilang sejak lima hari selepas keluar menebas di dusun durian - Utusan Malaysia

Lelaki hilang sejak lima hari selepas keluar menebas di dusun durian

YUSHARIFUDDIN Mohd. Yusop (kiri) mendengar taklimat daripada pegawai bertugas sewaktu turun padang ke Pusat Operasi SAR bagi mencari seorang lelaki hilang sejak lima hari lalu di Jalan Bukit Ayer, Kangar, Perlis hari ini. - UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seorang lelaki dipercayai hilang sejak lima hari lalu selepas keluar menebas membersihkan sebuah dusun durian milik rakannya di atas bukit di Sungai Batu Pahat, Jalan Bukit Ayer di sini, pada 8 Julai lalu.

Mangsa, Zulhelmi Abdul Halim, 28, dikatakan pergi ke dusun itu bersama seorang rakannya, Helmee Ramli, 42, bagi mengambil upah membersihkan kawasan tersebut.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, rakan mangsa yang menyedari kehilangan Zulhelmi selepas itu turut melakukan pencarian di kawasan sekitar sehingga lewat petang pada hari kejadian.

“Kawan mangsa itu kemudiannya turun semula ke bawah (bukit) dan keesokan harinya, dia bersama seorang jirannya telah meneruskan pencarian pada 9, 10, 11, dan 12 Julai di sekitar kawasan berkenaan namun tidak menemukan mangsa sehingga hari ini.

“Susulan itu, abang mangsa membuat laporan polis semalam dan kita turut mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan terlibat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Antara agensi lain yang terlibat dalam operasi SAR berkenaan adalah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Jabatan Perhutanan Malaysia.

Yusharifuddin berkata, pihaknya bersama agensi terlibat telah melakukan operasi meliputi kawasan seluas tiga kilometer daripada lokasi kejadian tersebut.

“Kita juga telah mendapatkan bantuan daripada agensi rakan sempadan di Thailand bagi membantu untuk mengesan mangsa terlibat. Selain itu, bantuan unit anjing pengesan (K9) turut dikerahkan bagi membantu mengesan mangsa,” katanya.

Menurut beliau, rakan mangsa tidak membuat laporan awal kepada polis berikutan beranggapan lelaki tersebut akan pulang semula kerana sudah biasa dengan keadaan di dusun itu.

“Namun selepas beberapa hari mangsa masih belum pulang dan oleh itu kita meneruskan pencarian menerusi operasi SAR ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya