KOTA KINABALU: Taktik seorang lelaki menyorok barang kawalan untuk menjualnya pada harga lebih tingg di Kampung Barambangon, Kudat, dekat sini dapat dihidu pihak berkuasa yang menahannya Khamis lalu.
Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Georgie Abas berkata, serbuan kira-kira pukuk 6.20 petang oleh pasukan penguat kuasa kementeria itu yang dibantu anggota Batalion 16 Pasukan Gerakan Am (PGA) menemukan pelbagai jenis barang kawalan yang disorokkan dalam sebuah stor.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati stor berkenaan menyimpan sebanyak 402 kilogram minyak masak peket bersubsidi, 864 kilogram gula pasir dan 914 kilogram tepung gandum yang disyaki disorok bagi tujuan menjual barang kawalan tersebut pada harga lebih tinggi di pasaran sekitar Kudat.
“Kesemua barang rampasan dianggarkan bernilai RM 6,991.40. Berdasarkan keterangan awal, premis yang disiasat telah menyorok dan menjual barang kawalan tersebut pada harga yang lebih tinggi sehingga RM80 bagi sekotak minyak masak peket dan di pasaran sekitar daerah Kudat serta secara online.
“Turut ditahan seorang lelaki dipercayai pemilik barang kawalan tersebut yang telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran atau permit sah bagi menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Georgie, suspek ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.
“Siasatan turut dilakukan mengikut Seksyen 20(1) akta sama dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 kerana menjual barang kawalan pada harga yang tidak munasabah dan terlalu tinggi,” katanya. – UTUSAN