KUALA LUMPUR: Seorang lelaki didenda RM3,000 di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memeluk bekas rakan sekerjanya pada Jun lalu.
Majistret Fardiana Haryanti Razali turut memerintahkan tertuduh, Yew Er Qin dipenjara selama sebulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, Er Qin, 31, mengaku bersalah atas tuduhan mencabul dengan cara memeluk seorang wanita berketurunan Melayu pada pukul 8.17 pagi, 22 Jun lalu di dalam lif sebuah pejabat Blok B North Point, Medan Syed Putra Utara, Brickfields di sini.
Tertuduh yang kini menganggur dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman tersebut.
Ketika mengemukakan rayuan, peguam belanya, Syama Sundar memohon agar mahkamah mengenakan hukuman denda minimum kerana anak guamnya berasa malu dan amat menyesali perbuatannya itu.
“Tertuduh kerja dalam bidang teknologi maklumat (IT) di syarikat swasta bersama wanita itu sebelum meletak jawatan selepas insiden berkenaan.
“Anak guan memeluk wanita itu dari hadapan seolah-olah macam tanda kemesraan. Namun, wanita itu membuat laporan polis kerana tidak suka dengan kelakuan tertuduh.
“Er Qin yang tidak mempunyai rekod jenayah akan menjaga pergaulan sosialnya selepas ini,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd. Latip memohon agar mahkamah untuk memberikan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.
Tertuduh membayar denda tersebut. – UTUSAN