Lelaki didakwa bunuh abang, kakak ipar berdepan hukuman mati - Utusan Malaysia

Lelaki didakwa bunuh abang, kakak ipar berdepan hukuman mati

NG Chun Ming dituduh membunuh abang dan kakak iparnya dalam kejadian minggu lalu didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang lelaki berdepan hukuman mati apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh di sini hari ini atas pertuduhan membunuh abang dan kakak iparnya, minggu lalu.

Ng Chun Ming, 61, mengangguk faham selepas dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Jesseca Daimis.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, lelaki yang juga penganggur itu didakwa membunuh Ng Chun Hon, 64, dan Ooi Tin Lu, 59, di sebuah rumah di Taman Bercham Aman antara pukul 6.45 petang pada 6 Julai hingga 8.20 pagi, 7 Julai 2022 lalu.

Pertuduhan yang dibacakan secara berasingan itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Syahirah Azahar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret Jesseca menetapkan 14 September ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik dan kimia.

Menerusi laporan media Khamis lalu, mayat suami isteri berusia 64 dan 59 tahun itu ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan kecederaan parah di kepala di ruang tamu rumah.

Mayat kedua-dua mangsa ditemukan oleh abang kepada si mati lelaki pada pukul 8.50 pagi.

Suspek yang melarikan diri dengan menaiki kereta Proton Saga milik kakak iparnya itu bagaimanapun berjaya diberkas di sebuah hotel di Genting Highlands pada pukul 7.45 malam, hari sama.

Suspek ditangkap bersama sebilah kapak yang dipercayai digunakan sebagai senjata dalam insiden pembunuhan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya