Lebih 12,000 Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera bakal dibina

Lebih 12,000 Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera bakal dibina

ISMAIL Sabri Yaakob (dua dari kanan)  diiringi Hishammuddin Tun Hussein (tengah) menyempurnakan gimik pelancaran Blueprint Perumahan 3.0 Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan 12,733 unit Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) baharu dibina menerusi lima fasa bermula tahun depan hingga 2030.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu antara tumpuan yang  diberikan dalam Rangka Tindakan (Blueprint) Perumahan Kementerian Pertahanan 3.0 (BP3.0).

Beliau berkata,  BP3.0 adalah agenda perumahan menyeluruh bagi menambah baik aspek kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk veteran dan warga awam yang mendokong aspirasi Keluarga Malaysia dalam melestarikan kebajikan mereka.

“Rangka tindakan ini memastikan perancangan Agenda Perumahan Kementerian Pertahanan yang bermula 2022 hingga 2030 dapat dilaksanakan dengan teratur.

“Ini seterusnya dapat menjamin kemudahan perumahan kepada warga kerja pertahanan yang telah banyak menyumbang bakti kepada kedaulatan negara dan paling banyak berkorban demi membela keselamatan Keluarga Malaysia,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan BP3.0 Kementerian Pertahanan di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM yang turut dihadiri Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Pelaksanaan Blueprint Perumahan 1.0 yang dilancarkan pada 2017 dan Blueprint Perumahan 2.0 pada 2019 menyaksikan sebanyak 4,200 unit RKMAT baru berjaya disiapkan dan diduduki.

Menurut Ismail Sabri, kaedah-kaedah perolehan secara penswastaan seperti ‘bina-pajak-senggara- pindah’ (BLMT) atau landswap diberi pertimbangan agar sebahagian besar matlamat BP3.0 dapat dicapai.

“Di bawah program selenggara dan naik taraf, sasaran 80 peratus daripada 7,292 unit RKMAT sedia ada dinaik taraf termasuk pengubahsuaian daripada dua unit kepada satu unit. Pada masa yang sama, perabot lama yang telah rosak diganti baharu.

“Di bawah program Inisiatif Perumahan Veteran ATM, sebanyak 1,700 unit dibina demi kesejahteraan veteran ATM di seluruh negara.

“Dalam masa yang sama, lebih banyak rumah akan diselenggara dengan nisbah sasarannya satu unit baru dibina, empat unit akan dinaik taraf,” katanya.

Ismail Sabri berkata, BP3.0 adalah projek perumahan jangka panjang Kementerian Pertahanan yang menitikberatkan kebajikan warganya. 

Katanya, ini kerana perancangannya cukup besar dan meluas bukan sahaja menuntut komitmen dan kesungguhan tinggi, malah memerlukan kerjasama erat daripada semua pihak yang terbabit.

“Matlamatnya adalah untuk memastikan lebih banyak RKMAT dibina dan diselenggara, lebih banyak rumah mampu milik dibina dan lebih ramai veteran ATM diberi rumah baharu dan ditambah baik kediaman sedia ada.

“Saya amat menghargai usaha Kementerian Pertahanan menjadikan inisiatif pemilikan rumah mampu milik sebagai salah satu fokus di bawah BP3.0.

“Semoga usaha sama antara kementerian dan semua pihak berkepentingan berterusan sekali gus membawa manfaat besar kepada aspek kebajikan anggota ATM,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya