ALOR SETAR: Walaupun Hutan Simpan Kekal (HSK) Rimba Teloi, Sik disenaraikan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) tahap dua, impaknya boleh terjadi hampir sama seperti di Gunung Inas, Baling.
Pegawai Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, bukan sahaja Rimba Teloi, tetapi kesemua HSK di negara ini perlu dihentikan daripada ‘ditebus’ guna untuk pembangunan ladang hutan.
“Isunya adalah ladang hutan, memang HSK Rimba Teloi dalam senarai KSAS tahap dua, tetapi hanya pembalakan mapan dan pelancongan alam semula jadi yang rendah impaknya sahaja dibenarkan.
“Jadi jika pembangunan yang tidak dikawal selia dan penguatkuasaan yang lemah tidak mustahil boleh mengundang tragedi serupa seperti di Gunung Inas. Ini kerana pembangunan ladang hutan dalam kawasan HSK memusnahkan litupan hutan asal yang menjadi hutan sekunder melalui kaedah pembalakan berskala besar secara tebang habis.
“Ini yang menjadi kerisauan, apatah lagi di Rimba Teloi juga memiliki kolam air masyarakat yang telah terjejas disebabkan pembangunan ladang hutan ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan, HSK Rimba Teloi yang turut diteroka untuk diusahakan sebagai ladang hutan dan kini dimajukan dengan tanaman durian Musang King berisiko mengulangi episod sedih tragedi kepala air dan banjir lumpur di Gunung Inas, Baling pada 4 Julai lalu.
Berdasarkan tinjauan di kawasan terbabit, sekurang-kurangnya empat kolam takungan dipercayai untuk kegunaan projek tanaman tersebut berada di atas puncak bukit berkenaan melibatkan kompartment 66 dan 67 yang berkeluasan kira-kira 200 hektar.
Sementara itu jelas Meor Razak, Rimba Teloi turut perlu dipelihara untuk kepentingan awam kerana ia merupakan sumber bekalan air bersih.
Katanya, mengikut pemerhatian dan kajian lapangan SAM sebelum ini, kebanyakan ladang hutan dalam kawasan HSK dilakukan tanpa kawalan dan tidak mematuhi syarat kelulusan yang ditetapkan.
“Sebagai contoh, penggerak projek atau kontraktor didapati menceroboh zon riparian atau rizab sungai yang boleh mencetus berlakunya proses hakisan tebing sungai dan pemendapan sedimen di dasar.
“Apabila ia berlaku, maka ia akan menyebabkan kejadian banjir lumpur atau banjir puing terjadi,” katanya.
Gunung Inas diklasifikasikan sebagai KSAS tahap satu yang perlu dipelihara kerana berdasarkan Rancangan Fizikal Negara (RFN) dan pelan rangkaian ekologi Central Forest Spine (CFS), ia tidak sepatutnya ditukar menjadi ladang kerana tidak banyak di Malaysia.
Bagi tahap itu, tiada pembangunan, pertanian, atau pembalakan akan dibenarkan kecuali bagi aktiviti alam semula jadi impak rendah serta penyelidikan dan pendidikan. – UTUSAN