BALING: Program Pembangunan Ladang Hutan di dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di seluruh negara perlu dihentikan segera kerana dikhuatiri boleh menyumbang kepada bencana alam termasuk kepala air seperti di Kupang, baru-baru ini.
Penasihat Sahabat Alam Sik (SAS), Mohd. Sobri Ramlee berkata, sejak trend pembangunan ladang hutan atau dipanggil ladang monokultur itu dilakukan, didapati fungsi kepelbagaian hayat hutan telah terjejas.
Malah, terdapat kawasan pembangunan ladang itu merupakan kawasan koridor hidupan liar terutamanya habitat dan kawasan mamalia besar khususnya gajah dan harimau belang berkeliaran.
“Kawasan ini juga ada yang melibatkan masyarakat Orang Asli seperti penempatan dan tempat mereka mendapatkan hasil hutan selain kawasan tadahan air serta kawasan rangkaian ekologi Central Forest Spine (CFS).
“Sejak ia dilaksanakan dalam skala besar oleh beberapa pihak berkuasa negeri melalui kaedah pajakan kepada syarikat konsesi dalam jangka masa lama, kami dapati fungsi kepelbagaian hayat hutan terjejas,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri himpunan bersama 36 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menuntut pemberhentian projek Ladang Durian Gunung Inas di Kupang di sini.
Pada 4 Julai lalu, tiga penduduk Kampung Iboi meninggal dunia manakala 17 buah rumah berhampiran tebing Sungai Kupang musnah sepenuhnya akibat dibadai kepala air dan banjir lumpur.
Penduduk mendakwa, kejadian menjadi buruk disebabkan projek tanaman Musang King di puncak Gunung Inas sejak 2018 yang selepas itu disahkan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor telah dihentikan operasi dua tahun kemudian.
Sementara itu, Pegawai Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, Gunung Inas merupakan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) tahap satu yang sepatutnya dipelihara.
“Jika merujuk kepada Rancangan Fizikal Negara (RFN) dan pelan rangkaian ekologi CFS, ia tidak sepatutnya ditukar menjadi ladang kerana KSAS tahap satu tidak banyak di Malaysia.
“Ia perlu dipelihara untuk kepentingan awam kerana ia bukan sahaja merupakan sumber bekalan air bersih tetapi mengelak konflik hidupan liar dengan manusia,” katanya.
Dalam pada itu, kesemua NGO itu mendesak pembatalan projek perladangan di Gunung Inas kerana durian Musang King tidak disenaraikan di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia serta Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
Selain itu, ia juga bukan spesies pokok yang disyorkan untuk penanaman semula hutan oleh jabatan berkenaan selain lokasi ladang di kawasan cerun melebihi 25 darjah yang sepatutnya dipelihara mengikut Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA).
Ini kerana, bukit-bukit yang ditarah menimbulkan risiko hakisan tanah seperti yang berlaku semasa banjir di Kupang yang menyaksikan batang-batang pokok dan lumpur dihanyutkan ke kampung oleh hujan. – UTUSAN