Kumpulan B40 diutama terima daging korban

Kumpulan B40 diutama terima daging korban

MOHD. Zawawi Ahmad Mughni (empat, kanan) bersama peserta Seminar Pemantapan Sembelihan Halal Qurban 1443 Hijrah Negeri Selangor di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN/ ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kumpulan B40 yang menjadi ahli kariah masjid dan surau di negeri ini akan menjadi keutamaan menerima agihan daging lembu korban pada tahun ini supaya lebih menepati matlamat ibadah itu.

Pengagihan tersebut adalah menerusi sumbangan lembu korban daripada kerajaan negeri kepada semua masjid dan surau terutama di kawasan-kawasan luar bandar.

Menurut Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni, ini disebabkan di bandar-bandar kebanyakan masjid mampu membeli lembu korban mereka sendiri.

“Masjid di bandar kebanyakannya memiliki kemampuan kewangan melebihi RM100,000.Ada yang mampu membuat korban hingga 30 ekor lembu.

“Sehubungan dengan itu pihak kerajaan negeri akan mengutamakan kawasan luar bandar seperti Daerah Kuala Langat dan lain-lain untuk diagihkan lembu korban,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Pemantapan Sembelihan Halal Qurban 1443 Hijrah Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Mohd.Zawawi berkata, tahun ini syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) akan menyumbang  425 ekor lembu kepada masjid dan surau terpilih.

“Pengagihan lembu korban untuk masjid, daripada keseluruhan 432 masjid kita pilih 332 masjid sahaja. Daripada 346  Surau Jumaat kita pilih 31 sahaja. Surau biasa daripada jumlah 1,765 surau kita pilih 62 sahaja,” jelasnya.

Mengulas mengenai program tersebut, beliau berkata, seminar tersebut bertujuan memberi panduan kepada pelaksana ibadah korban melakukan ibadah tersebut dengan ihsan iaitu tidak menyeksa lembu semasa proses menyembelih.

Beliau menambah, bagi mencapai objektif tersebut pihak Mufti Selangor dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) akan memberi panduan yang sewajarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya