KPT lihat keperluan tambah pinjaman PTPTN 

KPT lihat keperluan tambah pinjaman PTPTN 

AHMAD Masrizal Mohamad (tengah) berbual dengan pelajar semasa meninjau harga makanan di Kafe Kolej Kediaman Harun Aminurrashid UPSI, Tanjung Malim, Perak, hari ini. - FOTO/MOHAMAD HAFIZI MOHD. SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan melihat terlebih dahulu keperluan untuk menambah pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) ekoran kenaikan kos sara diri pelajar.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Ahmad Masrizal Mohamad juga tidak menolak kemungkinan untuk berbincang dengan PTPTN berkenaan perkara tersebut.

“Ya, kita akan lihat untuk menambah pinjaman dan berbincang dengan PTPTN, insya-Allah,” katanya selepas meninjau harga makanan di Kafe Kolej Kediaman Harun  Aminurrashid Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini semalam.

Menurutnya, namun KPT akan melihat terlebih dahulu keberkesanan pelaksanaan moratorium bayaran sewa selama enam bulan kepada pengusaha dan penyedia perkhidmatan makanan di dalam kampus IPTA mulai bulan ini yang diumumkan Menterinya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad semalam.

Noraini dalam satu kenyataan berkata, moratorium itu bagi memastikan tanggungan kos sewa pengusaha dan penyedia perkhidmatan dalam kampus IPTA boleh diserap bagi menurunkan harga makanan dijual kepada pelajar.

Menurut Ahmad Masrizal, penyelesaian melibatkan kenaikkan harga makanan di IPT adalah bersifat peringkat demi peringkat dan memerlukan kerjasama semua pihak termasuk Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan pihak universiti terlibat.

“Betul, kita akan dapatkan maklum balas dan sebagainya. Sebab itu saya cakap pentingnya hubungan antara MPP dengan pihak universiti dan juga pihak lain dalam kampus termasuk pengusaha makanan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Masrizal menyarankan semua IPTA dan IPTS seluruh negara  mewujudkan satu jawatankuasa khas pemantauan kos sara hidup pelajar dengan peranan MPP perlu diaktifkan secara maksimum.

“Itu adalah penting dan saya mahu melihat ia berlaku di semua universiti dan daripada itu saya yakin struktur yang dibentuk oleh MPP akan melibatkan pelbagai peringkat termasuk jawatankuasa kolej dan pihak pengurusan universiti.

“Saya melihat penubuhan jawatankuasa khas ini sebagai keperluan segera kerana kita tidak boleh menunggu lagi sebab saya yakin kemasukan pelajar akan bertambah selepas Ogos nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya