BACHOK: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terus memperketatkan pemantauan bagi memastikan 60,000 metrik tan minyak masak bersubsidi dijual pada sukatan timbangan dan harga yang ditetapkan untuk mengelakkan penyelewengan ke negara jiran menerusi aktiviti penyeludupan.
Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP Azman Adam berkata, pemantauan itu turut diperkemaskan menerusi Op Penaziran yang dilakukan dari semua peringkat bermula pengilang sehingga ke peruncit minyak masak bersubsidi.
Menurutnya, langkah itu bagi memastikan kelestarian bekalan dijamin sampai secara kepada rakyat di negara ini sekali gus mengelakkan warga asing menikmati subsidi disediakan oleh kerajaan.
“Di seluruh negara kita mempunyai 22 pengilang minyak masak, pembungkus berlesen (305), syarikat pemborong (4,151) dan peruncit (lebih 30,000). Kesemua mereka ini tidak akan terkecuali melalui Op Penaziran dan pemantauan yang berterusan.
“Menerusi langkah ini, KPDNHEP akan meneliti setiap rekod penghantaran dan urusan jual beli di semua peringkat pengeluar sehingga kepada peruncit. Malah pemeriksaan mengejut dan pemantauan akan membabitkan pelbagai agensi penguat kuasa termasuk polis dan tentera yang bertugas di kawasan sempadan negara,” katanya selepas mengadakan pemeriksaan di Kilang Pembungkusan Minyak Masak Tanjung Pauh Trading di Beris Kubur Besar, di sini hari ini.
Azman memberitahu, transaksi jualan bersubsidi secara runcit akan turut diteliti selaras dengan arahan yang telah dikeluarkan pada Januari tahun lalu.
Katanya, arahan itu menetapkan setiap keluarga dihadkan untuk membeli tiga kilogram atau tiga bungkusan minyak masak sahaja.
“Ia bertujuan mengawal pembelian melebihi had keperluan selain mengawal ketat bahan bersubsidi diselewengkan untuk dijual ke negara jiran.
“Selain itu, orang ramai turut diminta menjadi ‘mata dan telinga’ kerajaan dengan melaporkan kepada KPDNHEP jika berlakunya penjualan melebihi harga yang ditetapkan, kegiatan menyorok, penyelewengan dan aktiviti penyeludupan untuk tindakan segera,” ujarnya.
Orang ramai boleh melaporkan sebarang kecurigaan berkaitan proses jual beli minyak masak bersubsidi di talian 019-2794317 atau 019-8488000 untuk tindakan segera. – UTUSAN