Kos sara hidup, Anwar mahu raih populariti - Noh - Utusan Malaysia

Kos sara hidup, Anwar mahu raih populariti – Noh

NOH Omar (tiga dari kiri) menunjukkan laporan portal berhubung kenyataan Anwar yang melabel kerajaan sebagai bangang dalam isu menangani peningkatan kos hidup selepas merasmikan Mesyuarat Kopenas di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM:  Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melabel kerajaan sebagai tidak bijak menangani isu peningkatan kos hidup rakyat ditempelak apabila Ketua Pembangkang itu didakwa sedang mencari populariti dengan isu tersebut.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tan Sri Noh Omar berkata,  kenyataan tersebut mencerminkan Anwar  tidak faham dengan proses pentadbiran kerajaan walaupun pernah menjadi Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri sebelum ini.

“Kerajaan hari ini telah mewujudkan pelbagai mekanisme untuk mengurangkan beban kos hidup rakyat  termasuk memberi subsidi berbilion ringgit.

“Paling baharu menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi dipengerusikan oleh Tan Sri Annuar Musa untuk mengatasi masalah inflasi,”katanya selepas merasmikan Mesyuarat Koperasi Perkhidmatan Pelajaran Nasional (Kopenas) hari ini.

Anwar, Ahli Parlimen Port Dickson itu dilapor menyifatkan kerajaan sebagai ‘bangang’ apabila hanya menubuhkan jawatankuasa khas Kabinet bagi menangani harga barang termasuk ayam selepas enam bulan rakyat bergelut dengan kenaikan kos sara hidup.

Katanya, penubuhan jawatankuasa itu sepatutnya diadakan lebih awal sebelum kenaikan harga barang.

Bagaimanapun, Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata,  kerajaan juga menubuhkan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) dan Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Sekuriti Bekalan Makanan Negara bagi memastikan rakyat tidak terkesan dengan peningkatan kos makanan seperti ayam dan telur.

“Macam mana Anwar boleh kata kita lambat menangani isu kenaikan kos hidup rakyat. Adakah saya hendak katakan dia pula penipu dalam soal ini.

“Saya sendiri telah dua kali bermesyuarat dalam Naccol bersama Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin sama ada secara berdepan dan dalam talian semasa pandemik Covid-19 demi membincangkan kos hidup rakyat. Adakah ini yang dikatakan bangang oleh Anwar?” soalnya.

Beliau menambah, anak didik Tun Dr. Mahathir Mohamad itu seharusnya memahami apa yang dikatakannya kerana rakyat melihat beliau seakan ingin mencari populariti atas isu yang sedang ditangani dengan pemberian subsidi berbilion ringgit.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya