MELAKA: Seorang kontraktor maut dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza selepas motosikalnya terbabas dan terseret sejauh 25 meter di Jalan Bachang di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, mangsa, Muhammad Azizan Azhar, 32, yang bekerja sebagai kontraktor Telekom Malaysia (TM) meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dalam perjalanan dari arah Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Bachang menghala ke lampu isyarat Bachang-Jalan Tun Fatimah.
Beliau berkata, mangsa dipercayai tiba-tiba hilang kawalan lantas terbabas setibanya di lokasi berkenaan.
“Mangsa terseret sejauh 25 meter hingga memasuki laluan bertentangan sebelum dirempuh Perodua Alza yang tidak sempat mengelak.
“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Christopher, ketika kejadian keadaan permukaan jalan raya adalah basah berikutan cuaca hujan renyai.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN