Kontraktor berdepan hukuman ke tali gantung - Utusan Malaysia

Kontraktor berdepan hukuman ke tali gantung

YIP Simon dihadapkan di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 10.35 kilogram minggu lalu. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang kontraktor berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 10.35 kilogram, minggu lalu.

Yip Simon, 35, didakwa mengedar methamphetamine seberat 10,356 gram di kawasan tempat letak kereta, Pusat Makanan Gunung Rapat Enam Enam, Jalan Raja Musa Mahadi dalam daerah Ipoh lebih kurang pukul 4.40 petang, 21 Julai lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada lelaki itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd. Darus.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sufi Aiman Azmi manakala tertuduh diwakili peguam, J Matthews.

Terdahulu, Matthews mengemukakan permohonan kepada mahkamah untuk anak guamnya membuat laporan polis bagi membolehkan ia digunakan dalam perbicaraan.

Noor Azreen Liana membenarkan permohonan tersebut dan menetapkan 11 Oktober ini bagi sebutan semula kes serta serahan laporan kimia.

Sementara itu, Matthews ketika ditemui di luar mahkamah memaklumkan isteri tertuduh yang turut ditahan sebelum ini dibebaskan dengan jaminan polis pada Khamis lalu.

Menerusi laporan media, polis menahan sepasang suami isteri dan merampas dadah jenis methamphetamine dianggarkan seberat 20.7 kilogram bernilai kira-kira RM2.06 juta dalam serbuan berasingan, minggu lalu.

Lelaki warga tempatan dan isteri warga Vietnam berusia 38 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak pada pukul 4.40 petang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya