KKM jamin penjimatan tak libatkan perkhidmatan kesihatan negara

KKM jamin penjimatan tidak libatkan perkhidmatan kesihatan negara

KHAIRY Jamaluddin mengedarkan beg risalah kepada pengunjung pada pelancaran Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat peringkat negeri Perak di Meru Raya, Ipoh hari ini. - FOTO/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan bahawa langkah penjimatan dalaman seperti yang diarahkan Kementerian Kewangan tidak akan menjejaskan sistem perkhidmatan kesihatan negara.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, penjimatan hanya dilakukan bagi perkhidmatan bukan kesihatan seperti penganjuran acara selain kemudahan pakaian dan jamuan.

“Saya beri jaminan bahawa Pekeliling Perbendaharaan itu tidak akan menjejaskan perkhidmatan kesihatan. Perkara asas seperti (perbelanjaan bagi) ubat-ubatan, tidak akan dipotong (jimat).

“Yang kita akan potong adalah benda lain seperti majlis protokol, jamuan dan baju. Macam majlis buatlah di fasiliti sendiri, tidak perlu sewa hotel dan tidak perlu katering mewah,” katanya dalam sidang akhbar di Meru Raya di sini hari ini.

Terdahulu beliau melancarkan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Negeri Perak dan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan di Bulatan Sultan Azlan Shah yang turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Mengulas lanjut Khairy berkata, setiap peringkat KKM telah diarahkan untuk melakukan penjimatan ekoran pekeliling yang dikeluarkan kelmarin.

“Ketua Setiausaha KKM, Datuk Harjeet Singh telah memberi arahan kepada semua bahagian dan juga program di bawah KKM untuk menggariskan langkah penjimatan seperti mana yang diarahkan.

“Di peringkat kementerian, kita akan minta semua jabatan, bahagian untuk senaraikan apa yang boleh kita jimatkan sejajar dengan apa yang dikehendaki oleh Kementerian Kewangan,” katanya.

Menerusi laporan media semalam, Kementerian Kewangan meminta semua kementerian, jabatan, agensi, Badan Berkanun Persekutuan dan Syarikat Terhad Dengan Jaminan (CLBG) untuk melaksanakan penjimatan dalaman bagi menentukan semua perbelanjaan adalah selaras dengan prinsip serta peraturan pengurusan kewangan ditetapkan

Arahan penjimatan itu dibuat menerusi Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Seri Asri Hamidon pada 14 Julai 2022.

Menerusi garis panduan itu, setiap kementerian, agensi dan jabatan terlibat perlu menyusun semula peruntukan dan mencadangkan penjimatan mengurus hingga mencapai sasaran sekurang-kurangnya 5 peratus penjimatan daripada baki peruntukan mengurus pada tahun 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN