Kilang proses durian premium di Pengkalan Hulu - Utusan Malaysia

Kilang proses durian premium di Pengkalan Hulu

AZNEL Ibrahim (tengah) melihat durian yang disediakan pada Karnival Pengkalan Hulu dan Jom Makan Musang King di Dataran Arena Pengkalan Hulu dekat Gerik semalam. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Kewujudan kilang pemprosesan durian jenis premium di Pengkalan Hulu mampu mengawal harga dan lambakan raja buah tersebut ekoran ia dapat dijual sepanjang tahun.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim berkata, kerajaan negeri menerusi Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri (PPPNP) perlu bekerjasama bagi membina kilang tersebut secepat mungkin.

Menurut Aznel, buat masa ini terdapat lebih 5,000 ekar tanaman durian jenis musang king dan duri hitam yang sudah berbuah di Pengkalan Hulu dan jumlah berkenaan bakal bertambah kepada 10,000 ekar dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Saya melihat lagi satu tahun ke dua tahun lambakan durian akan ada lebih kurang 10,000 ekar durian musang king dan duri hitam dan saya cadangkan agar ada sebuah kilang untuk memproses buah ini.

“Buah-buah durian ini perlu disejuk beku dengan suhu -110 Celsius menggunakan nitrogen dan ia boleh disimpan selama enam bulan untuk kegunaan ketika bukan musimnya,” katanya ketika ditemui pemberita pada Karnival Jom Makan Durian Musang King Pengkalan Hulu di sini semalam.

Menurutnya, sekiranya usaha berkenaan berjaya direalisasikan, ia bukan sahaja dapat mengawal harga pasaran durian malah orang ramai berpeluang menikmatinya tanpa mengira musim.

“Apabila hendak dimakan ataupun hendak pasarkan ke luar negara secara komersial, kita boleh keluarkan ia pada bila-bila masa. Selain itu, Negeri Perak dapat menjadi negeri pertama yang mana kita boleh menikmati buah durian musang king ataupun duri hitam, sepanjang tahun tanpa mengira musim di Pengkalan Hulu,” katanya.

Aznel mencadangkan agar kilang pemprosesan durian jenis premium berkenaan dibina di atas tanah milik PPPNP di Mukim Belukar Semang, Pengkalan Hulu.

“PPPNP ada tanah yang mana dalam proses untuk tanam Musang King seluas 1,000 ekar, jadi saya cadangkan dalam kawasan 1,000 ekar ini, diwujudkan kilang pemprosesan durian ini. Sebuah kafe durian musang king dan duri hitam juga boleh dibuka di dalam kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata, durian Pengkalan Hulu bukan sahaja digemari pelancong tempatan malah turut menjadi buruan pelancong negara jiran, Thailand serta China.

Katanya, terdapat beberapa ejen pelancongan daripada Pulau Pinang membawa pelancong-pelancong dari China ke Pengkalan Hulu bagi menikmati durian musang king dan duri hitam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya