Kilang baharu Samsung SDIEM wujudkan 1,300 peluang pekerjaan baharu - Utusan Malaysia

Kilang baharu Samsung SDIEM wujudkan 1,300 peluang pekerjaan baharu

AMINUDDIN Harun (lima dari kiri) bersama Lee Chi Beom (empat dari kanan) dan Yoon Ho Choi (lima dari kanan) pada Majlis Pelancaran Pecah Tanah Fasa 2 Kilang Samsung SDIEM di Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Bangunan kilang baharu Samsung SDI Energy Malaysia Sdn. Bhd. (SDIEM) dengan pelaburan tambahan sebanyak RM7 bilion dijangka mampu menghasilkan 800 juta sel bateri setahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembinaan kilang fasa dua itu yang dijangka beroperasi pada 2025 bakal mewujudkan sebanyak 1,300 peluang pekerjaan kepada warga Malaysia.

“Pembangunan kilang baharu fasa 2 ini akan melibatkan tujuh bangunan baharu serta stesen sub tambahan elektrik 132 KV,” katanya menerusi rakaman video pada Majlis Pelancaran Pecah Tanah Fasa 2 Kilang Baharu Samsung SDIEM di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun; Duta Besar Korea Selatan ke Malaysia, Lee Chi Beom dan Ketua Pegawai Eksekutif SDIEM, Yoon Ho Choi.

Menurut Ismail Sabri, usaha Samsung SDIEM serta komitmen untuk memenuhi keperluan pasaran global bagi kegunaan kenderaan elektrik dunia menerusi kilang baharu itu adalah sesuatu yang membanggakan buat negara dan rakyat Malaysia secara amnya.

Beliau berkata, negara menghargai peranan yang dimainkan oleh Samsung dalam usaha membangunkan industri elektronik berasaskan teknologi hijau.

“Hal ini selaras matlamat negara dalam mencapai sifar karbon seawal 2050 seperti mana yang dinyatakan dalam strategi Rancangan Malaysia ke-12. Bagi Malaysia, industri ini adalah penting dari segi sumbangan kepada keseluruhan ekosistem Sel Bateri Kenderaan Elektrik (EV) yang komprehensif,” katanya.

Ismail Sabri berkata, Samsung merupakan salah satu syarikat elektronik terbesar di dunia dan jenama terkenal yang telah mula beroperasi di negara ini sejak 1990.

Sementara itu, Aminuddin berkata, kerajaan negeri sentiasa menggalakkan kemasukan pelaburan baharu yang berkualiti, berteknologi dan berimpak tinggi yang dapat memacu pertumbuhan ekonomi yang teguh di Negeri Sembilan.

“Kerajaan negeri juga menetapkan konsep dasar mesra pelabur dalam menarik pelaburan baharu menerusi Invest NS. Setiap projek pelaburan baharu akan sentiasa diberi fasilitasi bagi memudah cara urusan setiap projek yang melabur di negeri ini,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Ho Choi pula berkata, SDIEM akan memberikan komitmen terbaik bagi menjadikan syarikat itu sebagai pusat industri bateri global selaras dengan strategi pembangunan berfokuskan alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG).

“Dijangka bermula 2024, bateri yang dihasilkan di barisan pengeluaran yang canggih dan inovatif akan digunakan dalam pelbagai peranti bermula daripada peralatan elektrik, mobiliti mikro sehinggalah kepada kenderaan elektrik. Kami akan menjadikan seluruh dunia bergerak di atas bateri Samsung SDIEM,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya