PETALING JAYA: Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Apli Yusoff, 52, dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang baharu.
Pelantikan beliau berkuat kuasa selama dua tahun bagi menggantikan Datuk Wan Saiful Wan Jan yang tamat kontrak pada 17 Jun lalu.
Surat pelantikan jawatan disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di pejabatnya di Parlimen, semalam.
Apli adalah Ahli Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) yang dilantik bermula 1 Julai 2020 hingga 30 Jun 2023 di samping menjadi Ahli Lembaga Pengarah SME Corporation Malaysia (SME Corp.) dan Mara Incorporated Sdn. Bhd.
Lulusan Ijazah Kepujian Kejuruteraan Bahan dari Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1994 itu juga adalah Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu selain pernah berkhidmat sebagai pengerusi Tati Production Sdn. Bhd.
PTPTN dalam kenyataannya memaklumkan, pengalaman luas Apli diharap dapat membantu institusi itu terus menjadi agensi kerajaan yang disegani sekali gus merealisasikan usaha sebagai peneraju tabung pendidikan utama negara. – UTUSAN