KUALA LUMPUR: Seorang pegawai penyiasat menafikan dja gagal menjalankan tugasnya untuk menyiasat mengenai pindahan wang bernilai RM120,000 ke dalam akaun peribadi Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, empat tahun lalu.
Sebaliknya, saksi pendakwaan ke-28, Nurul Hidayah Kamarudin berkata, dia hanya memfokuskan kepada siasatan yang dijalankan sendiri.
Terdahulu, peguam bela, Gobind Singh Deo mencadangkan kepada Nurul Hidayah, 33, wanita itu gagal melakukan siasatan terperinci selepas gagal menjawab soalan mengenai perincian dana yang bertujuan untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) oleh Syed Saddiq.
Pada peringkat awal soal balas, Nurul Hidayah berkata, wang daripada akaun Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) dipindahkan ke akaun ASNB Syed Saddiq menerusi dua transaksi berjumlah RM100,000, pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.
Gobind: Adakah kamu tahu setiap calon yang bertanding perlu buat deklarasi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkaitan perbelanjaan pilihan raya?
Nurul Hidayah: Saya tidak pasti.
Gobind: Setuju kalau saya kata kamu tidak tahu kerana kamu tidak siasat.
Nurul Hidayah: Saya tidak setuju.
Gobind: Dalam perkara ini, resit-resit ini semua dikemukakan kepada SPR iaitu sebanyak RM171,675. Kamu tahu atau tidak mengenai hal ini?
Nurul Hidayah: Saya tidak tahu.
Gobind: Pernahkah dengar tentang Pergerakan dan Kebajikan Politik Kawasan Muar?
Nurul Hidayah: Pernah baca.
Gobind: Puan ada siasat?
Nurul Hidayah: Bagaimana nak siasat jika tidak dinyatakan bukti resit atau perbelanjaan.
Gobind: Itu masalahnya bila Puan tak soal YB sendiri.
Nurul Hidayah: Saya tidak ambil keterangan YB sebab ikut keterangan Amsyar, YB tidak pernah serahkan apa-apa tanggung jawab kepadanya, supaya menguruskan kewangan peribadi atau politik.
Difahamkan, Amsyar adalah seorang individu yang menguruskan kewangan peribadi dan politik Syed Saddiq.
Peguam itu bagaimanapun tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan Nurul Hidayah yang dikatakan tidak menjawab pada soalan yang ditanya oleh pembelaan.
Semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. ‘Afif Ali, Nurul Hidayah menjelaskan mengenai dakwaan pihak pembelaan yang menyatakan dia tidak menjalankan siasatan lengkap.
Mohd ‘Afif: Peguam mengatakan siasatan tidak lengkap dan awak menjawab ‘tidak’. Apa maksud ‘tidak’ itu?
Nurul Hidayah: Tidak setuju kerana saya fokus pada siasatan saya sendiri.
Mohd ‘Afif: Seterusnya peguam ada sebut tentang pergerakan dan kebajikan politik Muar dan juga perbelanjaan Parlimen Muar. Awak jawab bahawa pergerakan dan perbelanjaan Muar adalah sama. Apa maksudnya?
Nurul Hidayah: Pergerakan dan kebajikan dengan perbelanjaan Muar adalah perkara yg sama, perkara tersebut adalah dalam satu maksud iaitu tujuan untuk politik.
Syed Saddiq, 29, kini sedang dibicarakan atas empat pertuduhan berkaitan pecah amanah, menyalahgunakan harta serta pengubahan wang haram yang juga melibatkan Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Rafiq Hakim Razali.
Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung 3 Ogos ini. – UTUSAN