PETALING JAYA: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin meminta orang ramai mendapatkan suntikan dos penggalak susulan peningkatan kes baharu Covid-19 di negara ini.
Beliau berkata, masyarakat bagaimanapun boleh mendapatkan Paxlovid atau ubat antiviral Covid-19 di fasiliti kesihatan sekiranya belum mengambil dos penggalak.
“Jika anda berisiko tinggi dan positif Covid-19, pakai pelitup muka apabila berada di dalam bangunan (indoor). Amalkan TRIIS (ujian saringan, melaporkan hasil ujian saringan, menjalani kuarantin, memaklumkan pada kontak rapat jika positif dan mendapatkan rawatan segera),” katanya menerusi laman Twitternya, hari ini.
Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan memaklumkan, kes harian baharu Covid-19 meningkat sebanyak 27.9 peratus dalam tempoh 3 hingga 9 Julai lepas berbanding minggu sebelumnya.
Katanya, kes baharu dilaporkan dalam tempoh itu adalah 21,355 berbanding 16,694 kes pada 26 Jun hingga 2 Julai.
“Bilangan kes sembuh bagi 3 hingga 9 Julai lalu turut meningkat sebanyak 14.6% iaitu daripada 14,293 kes kepada 16,379 kes,” katanya. – UTUSAN