Keris Mat Kilau tidak dijual - Utusan Malaysia

Keris Mat Kilau tidak dijual

MOHD. Alhamadi Abu Bakar (kiri) menunjukkan keris peninggalan pahlawan Melayu, Mat Kilau kepada pengunjung Galeri Mat Kilau di SK Padang Garuda di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Keris Mat Kilau yang merupakan senjata peninggalan tokoh pahlawan Melayu dianggap terlalu berharga dan ia tidak boleh dijual beli walaupun harga ditawarkan mencecah sehingga RM500,000.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, cucu Mat Kilau, Mohd. Alhamadi Abu Bakar, 56, berkata, sebagai pemegang amanah, beliau tidak akan menjual ataupun menyerahkan keris peninggalan datuknya itu kepada mana-mana pihak.

Menurutnya, walaupun ditawarkan dengan harga yang tinggi, janjinya bahawa keris warisan tersebut tidak akan berpindah milik.

“Keris ini barangan original yang merupakan senjata peribadi aki (Mat Kilau) saya… banyak pihak menyuarakan hasrat membeli juga memiliki barang peninggalan sejarah ini, bukan sahaja orang perseorangan malah pertubuhan bukan kerajaan.

“Tidak ada nilai harga yang khusus sempat mereka tawarkan memandangkan saya dari awal lagi memberitahu keris ini tidak dijual,” katanya ketika ditemui di Galeri Mat Kilau, Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Garuda di sini semalam.

Tokoh pahlawan Melayu itu mempunyai beberapa lagi orang cucu, tetapi, Mohd. Alhamadi dipilih sebagai pemegang amanah untuk menyimpan keris bersejarah tersebut.

Mengulas lanjut, Mohd. Alhamadi berkata, keris itu begitu bermakna buat keluarga dan waris Mat Kilau yang masih ada memandangkan ia senjata peribadi datuk dan moyang mereka yang digunakan bagi menentang penjajah Inggeris di negeri ini sekitar tahun 1890.

Jelasnya, keris warisan tersebut diserahkan Tok Gajah yang merupakan ayah kepada Mat Kilau ketika umurnya menginjak 16 tahun, sekitar 1881.

“Namun, keris itu pernah dilenyapkan hampir 40 tahun apabila aki (Mat Kilau) bersembunyi setelah penentangan Inggeris di negeri ini diisytiharkan tamat pada 1896 dengan membawa sekali kerisnya pulang ke Kuantan. Keris ini disorok dalam tempayan serta ditanam dalam tanah bagi menyembunyikan identitinya ketika itu.

“Keris ini muncul kembali sebelum aki meninggal dunia pada 1970, telah diserahkan kepada ayah saya juga menantunya, Abu Bakar Awang pada 1969. Kemudiannya, diperturunkan kepada saya pada tahun 2002 yang ketika itu begitu aktif dalam gelanggang persilatan Seni Silat Tapak Setia Suci Warisan Mat Kilau.

“Justeru, tidak mungkin, pusaka tinggalan datuk saya sendiri dilepaskan dan berada di tangan orang lain. Buat masa ini, saya akan kekal sebagai pemegang amanah untuk terus menjaganya dan dalam masa sama berkongsi cerita sejarah tentang pemilik asal keris ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Guru Besar SK Padang Garuda berbesar hati apabila kisah keris pahlawan Melayu dan juga perjuangan datuknya giat diangkat oleh banyak pihak ketika ini.

Katanya, susulan itu, generasi hari ini perlu diketengahkan untuk mengenali senjata Melayu seperti keris dan pedang perang seperti buaya berenang yang semakin dipinggirkan.

“Masyarakat hari ini lebih banyak menabur fitnah terhadap senjata Melayu itu sendiri dengan menyatakan keris dan parang sebagai senjata orang jahat, malah, mereka yang memiliki keris dikategorikan juga sebagai pengamal ilmu hitam.

“Keris adalah senjata orang Melayu… ia berkait rapat dengan orang Melayu. Seninya sangat tinggi dan seharusnya kita perlu menyimpan senjata seni budaya kita daripada kita berpusu-pusu membeli pedang samurai.

“Tukang-tukang keris dan parang perang yang beridentitikan Melayu dan Islam digalakkan tampil semula untuk menghasilkan senjata ini. Diharap ia tidak akan pupus ditelan arus moden,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya