KOTA BHARU: Kerajaan mengambil serius isu warga asing menikmati subsisi minyak peket menerusi aktiviti penyeludupan ke selatan Thailand sehingga menyebabkan bekalan bahan mentah itu berkurangan di pasaran tempatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, buat masa ini kerajaan mahu mengetahui setakat mana seriusnya perkara tersebut.
Menurut beliau, susulan itu satu siasatan lebih teliti akan dilakukan berkait dengan perkara itu kerana ia melibatkan soal subsidi.
“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku (rakyat negara lain menikmati subsidi minyak peket). Kita akui ada laporan daripada media berkaitan dengan aktiviti penyelewengan subsidi.
“Satu perbincangan tidak rasmi termasuk dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan akan dilakukan berhubung isu ini,” kata beliau selepas meninjau harga barangan keperluan dan runcit di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini, hari ini.
Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli memberitahu, pihaknya akan mendapatkan maklumat berapa jumlah pengilang yang terlibat dalam industri ‘repackaging’ minyak masak peket ini.
Katanya, langkah itu membolehkan kerajaan membuat pemantauan di mana minyak-minyak tersebut dijual.
Dalam perkembangan lain, Mustapa berkata, tinjauan di RTC mendapati kebanyakan barang yang dijual terkawal dan tidak berlaku kenaikan mendadak walaupun menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha. – UTUSAN