KAMPAR: Kementerian Kesihatan melaksanakan tinjauan kesihatan di 71 lokasi terpilih bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan masyarakat Orang Asli dalam keadaan baik.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, Institut Kesihatan Umum (IKU) dan kementerian dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) buat pertama kali menjalankan Tinjauan Kesihatan Orang Asli.
Katanya, lokasi perkampungan dipilih secara rawak itu mewakili tiga kaum utama iaitu Senoi, Melayu-Proto dan Negrito di lapan buah negeri di Semenanjung.
“Tinjauan kesihatan yang dijalankan ini akan menemu bual lebih 20,000 responden Orang Asli untuk tempoh tiga bulan bermula 13 Julai hingga 13 September 2022.
“Tinjauan dilaksanakan di 71 perkampungan Orang Asli di kawasan bandar, pinggiran dan pedalaman yang melibatkan 4,700 buah rumah,” katanya kepada pemberita pada Perlancaran Tinjauan Kesihatan Orang Asli di Dewan Komuniti Sahom, di sini hari ini.
Menurut Khairy, sebelum ini IKU telah menjalankan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) yang dilaksanakan secara berkala melibatkan penduduk di seluruh negara.
Beliau berkata, dapatan daripada NHMS menunjukkan peningkatan pelbagai masalah kesihatan penduduk negara ini seperti masalah diabetes, obesiti dan sebagainya.
“Bagaimanapun masalah kesihatan secara terperinci dalam kalangan masyarakat Orang Asli tidak dapat diperoleh daripada NHMS kerana jumlah Orang Asli yang terlibat dalam NHMS agak terhad,” katanya.
Menurut Khairy, data dari tinjauan ini akan dapat memberikan gambaran sebenar status kesihatan Orang Asli dari pelbagai kaum dan lokaliti dan kerajaan mempunyai maklumat apa yang diperlukan dari segi perkhidmatan kesihatan yang boleh diberikan kepada masyarakat Orang Asli.
“Saya yakin dalam lima tahun akan datang kita akan berjaya melahirkan lebih ramai lagi anak-anak Orang Asli yang sihat sejahtera sepanjang hayat,” katanya.
Beliau juga berharap masyarakat Orang Asli memberi kerjasama kepada Kementerian Kesihatan dalam tinjauan kesihatan supaya dapat memberikan maklumat terperinci berhubung status kesihatan mereka.
“Tolong beri kerjasama kepada kita supaya kita dapat memberi perkhidmatan serta fasiliti yang betul-betul diperlukan oleh masyarakat Orang Asli. Hasil tinjauan ini dijangka dapat membekalkan ‘evidence-based’ data yang menyeluruh berkaitan status kesihatan Orang Asli.
Sementara itu, Khairy berkata, berdasarkan laporan NHMS, kajian yang dijalankan di 11 perkampungan Orang Asli di Pahang pada tahun 2011 melaporkan, 64.2 peratus kanak-kanak masyarakat Orang Asli di bawah usia 5 tahun mengalami masalah bantut berbanding 21.2 peratus dalam kalangan kanak-kanak Malaysia secara umumnya.
Katanya, pada masa yang sama, masyarakat dewasa Orang Asli juga menghadapi masalah Penyakit Tak Berjangkit (NCD) sama seperti penduduk dewasa secara amnya.
“Kajian di 11 perkampungan Orang Asli itu juga mendapati 25.5 peratus dari Orang Asli dewasa menghadapi masalah hypertension berbanding penduduk dewasa di negara ini iaitu 30 peratus,” katanya. – UTUSAN