JOHOR BAHRU: Keluarga seorang lelaki yang meninggal dunia semasa dalam tahanan polis di Penjara Kluang meminta penjelasan daripada pihak berkuasa berkaitan perkara tersebut.
Michelle Kim, 32, memberitahu, abangnya, Kim Shih Keat, 36, telah dijatuhi hukuman tujuh hari penjara dan denda sebanyak RM15,000 serta lesen memandunya digantung selama dua tahun selepas didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk oleh Mahkamah Sesyen, di sini pada 22 Jun lalu.
“Kami sudah membayar denda berkenaan dan dia sepatutnya dibebaskan pada 28 Jun selepas tamat tempoh tahanannya. Pada 26 Jun lalu, saya menghubungi penjara untuk melawatnya, tetapi pegawai bertanyakan motif tindakan saya kerana dia akan dibebaskan dua hari kemudian.
“Keesokannya, saya menghubungi penjara sekali lagi untuk bertanyakan pukul berapa abang saya akan dibebaskan, mereka memaklumkan antara pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Ketika dalam perjalanan menuju ke Penjara Kluang pada 28 Jun, pihaknya menerima panggilan daripada pengurus kematian menyatakan abangnya telah meninggal dunia kira-kira pukul 10 pagi.
“Pihak yang menelefon itu meminta kami terus ke Hospital Kluang dan semasa dalam perjalanan, kami menerima satu lagi panggilan daripada pihak penjara memaklumkan abang saya pengsan sebelum dihantar untuk mendapatkan rawatan, namun kemudiannya meninggal di sana.
“Setibanya di hospital, kami dapati terdapat beberapa kesan lebam dan cakar di bahagian badan dan tangannya. Apa yang menghairankan, abang saya sihat dan tidak mempunyai sebarang penyakit,” katanya sambil memberitahu Shih Keat meninggalkan seorang isteri dan dua anak yang masih kecil.
Hingga kini, Michelle memberitahu, pihaknya masih belum dimaklumkan tentang punca kematian dan berharap perkara tersebut dapat dikenal pasti.
“Disebabkan perkara itu, saya bersama seorang lagi abang telah membuat laporan polis, masing-masing di sebuah balai polis di Kluang,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani mengesahkannya pihaknya menerima dua laporan polis berhubung kejadian terbabit.
“Ketika ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, namun pihak polis sedang menunggu keputusan laporan kimia untuk mengenal pasti punca sebenar kematian,” jelasnya. – UTUSAN