KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menegaskan pembinaan kilang simen di Chiku, Gua Musang, tetap diteruskan seperti dijanjikan sebelum ini sekali gus ‘menutup’ khabar angin mengatakan projek itu tidak akan berjalan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Hanifa Ahmad berkata, satu perjumpaan antara Majlis Daerah Gua Musang dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) diadakan di Kuala Lumpur hari ini.
Menurutnya, perjumpaan tersebut akan dipengerusikan oleh Kementerian Kerja Raya bagi membincangkan cadangan membina jalan ke kilang simen berkenaan.
“Ia akan bermula dari Ladang Serasa sehingga ke tapak kilang dengan jarak lebih kurang 10 kilometer. Untuk makluman lawatan ke tapak dan taklimat berkait dengan projek tersebut telah dilakukan di Chiku 1 dan 2 pada 5 Julai lalu.
“Taklimat dan lawatan itu memberi isyarat yang jelas kesungguhan kerajaan negeri dalam meneruskan projek ini,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Amran Ariffin pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan kali ke-14 di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.
ADUN Pengkalan Pasir itu memberitahu, taklimat tersebut dengan jelas menyatakan bahawa projek berkenaan dilaksanakan melalui beberapa fasa.
Katanya, penjadualan pembinaan juga dinyatakan dengan jelas, iaitu fasa pembersihan tapak akan siap pada September ini.
“Fasa pelarasan tapak akan siap pada Disember. Pelan pembinaan kilang akan dimulakan pada Oktober ini dan akan siap pada Jun 2023. Pentauliahan kerja akan dibuat pada Disember 2023 dan simen pertama akan dihasilkan pada Jun 2024. Pihak pemaju juga telah memberi jaminan projek ini akan siap mengikut jadual,” katanya.
Hanifa berkata, lawatan ke tapak kilang juga telah dibuat dan berdasarkan perkembangan kerja yang dilihat dan kerajaan negeri yakin ia boleh disiapkan pada akhir 2024. – UTUSAN