Kekal jual ayam goreng RM1 seketul

Kekal jual ayam goreng RM1 seketul

KHAIRUL Anuar Nordin menunjukkan ayam goreng yang dijual pada harga RM1 seketul di Pantai Teluk Lipat, Dungun, Terengganu.- UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Ketika kebanyakan peniaga terpaksa menaikkan harga barangan jualan berikutan peningkatan kos, seorang peniaga ayam di bandar ini masih kekal menjual ayam goreng pada harga murah.

Khairul Anuar Nordin, 25, berkata, meskipun hanya menjual ayam berharga RM1 untuk seketul ayam, dia masih mampu mendapat hasil jualan kira-kira RM700 hingga RM1,000 sehari.

“Kalau ikutkan memang keuntungan tidak besar kerana kenaikan kos tepung ayam goreng, kesukaran dapat minyak masak peket dan bekalan ayam murah. Namun saya tidak mahu pelanggan terbeban dengan harga jualan yang mahal.

“Bila saya jual ayam RM1 seketul, sekurang-kurangnya ramai pelanggan yang mampu membelinya. Budak sekolah dan mereka yang mempunyai anak ramai, mampu menikmati ayam goreng yang saya jual,” katanya ketika ditemui di premisnya di Pantai Teluk Lipat, di sini.

Khairul Anuar yang tinggal di Kampung Che Lijah berkata, dia yang memulakan perniagaan kira-kira pukul 11 pagi, mampu menjual 10 hingga 20 ekor ayam sehari.

“Bagi mengurangkan kos, saya hanya berniaga seorang diri, dibantu isteri di rumah yang menyediakan tepung dan membersihkan ayam.

“Saya turut menjual air sebagai sampingan sebab kalau nak harapkan jualan ayam sahaja, tak untung sangat,” katanya.

Bercerita lanjut, Khairul Anuar berkata, dia bertekad memulakan perniagaan ayam goreng selepas tidak mendapat peluang pekerjaan.

“Saya pernah minta kerja di beberapa syarikat termasuk di pam minyak, restoran dan pasar raya, namun semuanya gagal. Saya kemudian mengambil keputusan untuk berniaga secara kecil-kecilan,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN