KUALA LUMPUR: Pelakon meningkat naik, Sophia Albarakbah menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengaitkannya dengan pelakon, Shah Jazle.
Jelas pelakon berusia 29 tahun itu, dia dan Shah hanya berkawan rapat dan tiada hubungan istimewa dengan pelakon berkenaan.
“Shah peramah, itu perangai dia. Kami berdua ‘sekepala’.
“Kalau di set memang mesra, tapi tak adalah berlebihan. Saya juga berkawan dengan isterinya, Nur Hanis Husna. Kalau berjumpa, kami keluar berlima, termasuk anak-anaknya.
“Kami tiada apa-apa hubungan. Jadi tak ada apa nak disembunyikan,” katanya.
Sophia berkata demikian pada majlis tayangan perdana filem Jerangkung Dalam Almari yang diadakan di GSC Tropicana Gardens Mall, di sini baru-baru ini.
Sebelum ini nama Sophia disebut-sebut mengenai kemesraannya bersama pelakon itu di set penggambaran drama Cinta Hilang Kata.
Sophia sebelum ini pernah menyuarakan kekhuatiran berlakon dengan suami orang kerana takut menjadi mangsa fitnah dan salah faham.
Dalam pada itu, Sophia turut memaklumkan dia tidak mengambil serius gurauan pelakon-pelakon lelaki yang seolah-olah mencuba untuk mendekati dirinya.
Katanya, perkara itu sekadar gurauan dan tidak perlu diperbesar-besarkan.
“Saya anggap mereka hanya bergurau dan sekadar mahu berkawan. Bukan serius.
“Kalau ada yang cuba (mendekati), saya tak layan,” katanya. – UTUSAN