KUALA LUMPUR: Penyanyi, Syura Badron, 35, bersyukur kerana memiliki suami yang memahami dan tidak terburu-buru untuk mendapatkan zuriat.
Katanya, meskipun perkahwinan mereka merupakan yang pertama untuk suaminya, Muhd Farizat Ismail, namun tiada paksaan untuk segera mendapatkan cahaya mata.
“Tekanan tak ada. Mungkin diri sendiri, ada. Saya berkahwin dengan lelaki bujang. Impian semua isteri untuk beri zuriat kepada suami.
“Tapi saya bersyukur, suami tak pernah anggap zuriat sebagai perkara yang perlu dipercepat-cepatkan. Dia faham, kami pun dah bincang perkara ini sebelum berkahwin lagi.
“Kami berusaha dan mencuba. Saya pun bukan muda lagi. Elak mengandung dalam keadaan yang berisiko,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Syura juga berkata, sebagai seorang wanita dalam usia 30-an, dia maklum akan situasi di mana kadar keboleh hamilan menurun seiring pertambahan usia.
Namun, katanya itu bukan alasan untuk berputusa asa dan tidak berusaha.
“Pada usia sekarang, saya risau dengan keadaan badan.
“Jadi saya memang jaga. Ambil suplemen dan ikut saranan doktor,” ujarnya.
Syura dan Muhd Farizat mendirikan rumah tangga awal tahun ini selepas lima tahun mengenali hati budi masing-masing.