Kaki judi beralih beli nombor ekor dalam talian

Kaki judi beralih beli nombor ekor dalam talian

KEPUTUSAN Kerajaan Negeri Kedah tidak memperbaharui lesen judi nombor ekor di negeri ini tidak memberi kesan kepada kaki judi kerana tabiat itu boleh diteruskan dengan membeli secara dalam talian atau sindiket-sindiket judi haram - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Keputusan Kedah tidak memperbaharui lesen judi nombor ekor tidak memberi kesan kepada kaki judi kerana tabiat itu boleh diteruskan dengan membeli secara dalam talian atau sindiket-sindiket judi haram.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa lokasi mendapati, antara premis yang dijadikan pilihan untuk sindiket tersebut beroperasi adalah kedai te­lekomunikasi, kedai runcit atau restoran sebagai taktik mengaburi mata penguat kuasa.

Malah, ledakan teknologi yang semakin canggih juga mendorong ‘kaki ekor’ beralih kepada penggunaan medium dalam talian yang lebih mudah dan didakwa ‘selamat’ daripada dicekup polis atau pihak berkuasa agama bagi orang Islam.

Bagaimanapun, ‘tahi judi’ yang lebih berusia didapati tetap mahu memilih kaedah tradisional dengan membeli nombor-nombor ramalan secara fizikal kerana mereka juga kurang mahir menggunakan kandungan tidak bermoral itu menerusi telefon pintar.

Seorang peminat tegar judi nombor ekor haram yang mahu dikenali sebagai Nan, 46, berkata, walaupun tidak membeli nombor-nombor itu secara haram di premis ter­babit, dia mengakui mereka mempunyai pilihan untuk hanya membuat tempahan secara dalam talian.

“Biasanya kaki ekor yang agak berumur dan tidak pandai menggunakan aplikasi telefon bimbit sahaja yang lebih suka berurusan menggunakan kaedah lama iaitu nombor pilihan ditulis di atas kertas manakala sebahagian besar ‘pelanggan muda’ lebih senang membeli nombor ekor haram secara dalam talian kerana kaedah itu tidak memerlukan kami mengunjungi premis selain mampu mengelak daripada dilihat terlibat dalam aktiviti ini,” katanya ketika ditemui, semalam.

Pada 14 November tahun lalu, kerajaan Kedah membuat keputusan untuk tidak memberi kelulusan kepada permohonan baharu lesen perjudian serta tidak memperbaharui lesen judi sedia ada selepas ia tamat tempoh berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor ketika mengumumkan perkara itu berkata, keputusan yang dibuat pada mesyuarat Exco itu bagi mengelak mudarat yang lebih banyak kepada penduduk negeri itu.

Sementara itu, seorang lagi kaki judi empat nombor ekor mengakui, sebahagian besar pelanggan akan membeli nombor ekor secara haram kerana terpengaruh dengan bayaran yang lebih tinggi jika nombor yang ditikam mengena.

Bimbang kedai ekor haram tumbuh bagai cendawan lepas hujan

Sementara itu beberpa pihak berpenbdapat keputusan Kerajaan Negeri Kedah itu boleh mendorong kepada permintaan terhadap khidmat nombor ekor haram dikhuatiri melambung tinggi susulan langkah kerajaan negeri menghentikan kelulusan kepada permohonan baharu lesen perjudian serta tidak memperbaharui lesen sedia ada.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, ketika ini sudah banyak premis terbabit muncul di seluruh negeri yang berselindung di sebalik perniagaan lain bagi menjalankan operasi itu secara haram.

“Kita memang amat mengalu-alukan keputusan kerajaan negeri untuk menghentikan penjualan judi ekor di negeri ini selaras de­ngan imej Kedah yang melahirkan ramai alim ulama, kerana kita tidak mahu isu itu terpalit kepada institusi agama,” katanya di sini, semalam.

Tambah Mohamad Yusrizal, pihak berkuasa perlu mengembleng tenaga membasmi kegiatan terbabit kerana walaupun premis berlesen tidak lagi dapat beroperasi selepas ini, gejala sosial itu dipercayai sukar ditamatkan tanpa kerjasama semua pihak.

“Ramai yang menjadi kaki-kaki judi ini tidak kira latar belakang, ada yang bekerja kampung dan ada juga pekerja profesional kerana permainan nombor ekor ini menyebabkan mereka ke­tagih untuk mempertaruhkan wang bagi mendapatkan pulangan lumayan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi AOR Youth, Nur Naajla Shafyqa Abdul Mutalib berharap, langkah kerajaan negeri mengharamkan sepenuhnya kegiatan judi di negeri itu dapat mengembalikan rakyat yang berkualiti terutama dalam kalangan belia.

 

MOHAMAD YUSRIZAL YUSOFF

Kedah bebas judi sepenuhnya pada 1 Januari

Dalam pada itu, kira-kira 45 pemegang lesen premis perjudian yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini akan tamat operasi menjelang hujung tahun ini, sekali gus membantu hasrat kerajaan negeri untuk sifar ke­giatan itu pada 1 Januari tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Ke­sihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, ketika ini hanya lesen yang belum ber­akhir tempoh operasi sahaja dibenarkan untuk terus membuka perniagaan, sebelum kebenaran mereka terbatal secara automatik kelak.

DR. MOHD. HAYATI OTHMAN
Katanya, sehingga Mac lalu, hanya satu lesen premis perjudian yang tidak beroperasi dan telah ditutup PBT berkaitan, selaras dengan arahan yang dikeluarkan kerajaan negeri sebelum ini.
“Lesen premis-premis lain yang masih mempunyai tempoh sah ketika ini akan tamat secara berperingkat setelah kerajaan negeri membuat keputusan tersebut pada November tahun lalu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Difahamkan, Kementerian Kewangan adalah satu-satunya agensi yang meluluskan lesen perjudian, manakala kerajaan negeri boleh mengeluarkan dasar kepada PBT bagi pengawalan lesen premis sahaja.
Kata Mohd. Hayati, kerajaan negeri tidak boleh sewenang-wenangnya menutup operasi premis perjudian nombor ramalan kerana mengambil kira implikasi undang-undang.
Tambah beliau, tempoh persediaan diberikan oleh kerajaan negeri kepada pengusaha bagi mencari alternatif perniagaan lain yang bersesuaian untuk kelangsungan pendapatan.
Kerajaan negeri meminta pihak berkaitan seperti PBT, Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya melipat gandakan pe­nguatkuasaan bagi memastikan tiada aktiviti perjudian di Kedah menjelang 1 Januari 2023.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya