KUALA LUMPUR: Timbalan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Datuk Ayu Puteh menggesa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengkaji semula kriteria pemberian dana penghasilan filem di negara ini.
Kata pemilik syarikat produksi Pencil Pictures Records itu, perkara itu berikutan wujudnya kes-kes penipuan dan manipulasi melibatkan dana berkenaan yang didalangi segelintir penerbit di negara ini.
“Mereka ini tak kisah nama disenarai hitam. Janji dapat duit, buat rumah, beli kereta dan bayar hutang. Bukan buat filem. Bila syarikat disenarai hitam, mereka boleh buka syarikat baharu untuk ulang muslihat sama.
“Ada kira-kira 400 lebih penerbit filem yang berdaftar dengan PFM. Tetapi yang betul-betul hasilkan filem boleh dikira dengan jari. Dana keluar, filem tak keluar.
“Jadi saya minta kerajaan kaji semula. Kalau nak beri (dana), bagilah kepada yang betul-betul layak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Ayu juga mencadangkan Finas agar mengkaji secara lebih terperinci terhadap latar belakang sesebuah syarikat penerbitan filem sebelum meluluskan pemberian satu-satu dana.
Katanya, tindakan itu penting bagi memastikan dana tersebut tidak jatuh ke ‘tangan’ yang salah.
“Kalau nak bagi, pastikan penerbit itu bebas hutang dan nama tidak disenarai hitam. Mungkin, siasatan juga boleh dibuat dengan meneliti audit syarikat tersebut sama ada mereka benar-benar komited dalam membuat filem atau tidak.
“Pada masa yang sama, pihak berkuasa juga boleh menyemak latar belakang pemohon, adakah mereka dikenali atau tidak,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, Ayu juga menggesa agar kerajaan mengambil tindakan lebih berat terhadap pelaku-pelaku terbabit yang memanipulasi dana berkenaan untuk kepentingan peribadi.
“Kalau setakat senarai hitam nama atau syarikat, perkara itu tak mencukupi.
“Perlu ada tindakan lebih berat, yang lebih tegas untuk memberi amaran kepada penerbit-penerbit yang mengambil kesempatan agar berfikir semasak-masaknya sebelum membuat kerja-kerja jahat tersebut,” jelasnya. – UTUSAN