Jumpa dua bom mortar ketika kemas stor - Utusan Malaysia

Jumpa dua bom mortar ketika kemas stor

DUA butir bom mortar yang ditemukan dalam sebuah stor di Kampung Tersusun Muhibbah, Malim Nawar, Kampar semalam. - UTUSAN/IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Seorang nelayan darat terkejut menemukan dua objek berupa bom ketika sedang mengemas bilik stor di belakang sebuah rumah di Kampung Tersusun Muhibbah, Malim Nawar di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, lelaki berusia 59 tahun itu menemukan objek berkenaan ketika berada di rumah peninggalan abang iparnya pada pukul 8.30 pagi.

Katanya, objek berbentuk bujur dan berwarna perak menyerupai bom itu berada dalam rak kayu di dalam stor tersebut.

“Lelaki terbabit yang tidak mahu mengambil tindakan sendiri kerana bimbang terjadi sesuatu yang tidak diingini telah datang ke balai polis bagi membuat laporan.

“Sepasukan anggota termasuk dari Cawangan Persenjataan Ibu pejabat Polis (IPD) Kampar digerakkan ke lokasi bagi membuat pemeriksaan termasuk memaklumkan kepada Unit Pemusnah Bom (UPB), Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati, bom itu ditemukan ketika pengadu mengemas pinggan mangkuk dan barang lama di dalam stor milik abang iparnya yang telah meninggal dunia.

Jelasnya, pemeriksaan mendapati, objek yang dijumpai itu merupakan dua butir bom jenis mortar 60mm yang berada di atas dan di bawah rak kayu. 

“Menurut pengadu, rumah tersebut adalah rumah peninggalan arwah abang iparnya yang merupakan pesara tentera dan tidak berpenghuni sejak 10 tahun lalu. Hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh UPB mendapati bom berukuran panjang 0.3 meter dengan ukur lilit 20 sentimer dibuat pada 1972 bagi tujuan latihan.

“Bom berkenaan telah dilancarkan dan didapati tidak berbahaya kerana tiada bahan letupan di dalamnya. Bom itu akan dibawa ke IPK Perak bagi tujuan latihan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya