PUTRAJAYA: Kaedah jual-beli secara cedok-cedok diamalkan segelintir peniaga menerusi media sosial ketika ini bukan sahaja tidak sah, sebaliknya ia mempunyai unsur gharar (ketidaktentuan), jahalah (ketidaktahuan) dan perjudian.
Itu jelas bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri menerusi artikel terbaharunya menerusi portal Maktabah Al-Bakri hari ini.
Zulkifli melihat jual-beli secara cedok-cedok itu mirip dengan jual beli mulasamah dan munabazah serta termasuk dalam jual-beli yang dilarang kerana mengandungi unsur-unsur berkenaan.
“Bukan itu sahaja, ia dilihat seolah-olah bergantung kepada nasib semata-mata dan menafikan hak pembeli dalam memilih barangan dikehendaki dan disukai dengan harga yang setimpal dengan apa yang telah dibayar.
“Justeru, situasi ini melanggar prinsip-prinsip jual-beli yang sepatutnya ada seperti khiyar (pilihan),” katanya.
Katanya, sekiranya pembeli menyatakan redanya dengan kaedah pembelian ceduk itu, ia tetap tidak diharuskan oleh syarak sebagaimana keredaan pemain judi akan menang atau kalahnya.
Justeru, Zulkilfli menasihati orang ramai supaya menjauhi jual beli seperti ini kerana banyak lagi jual-beli yang jauh lebih baik dan bebas daripada unsur-unsur yang diharamkan itu.
Trend jual-beli secara cedok-cedok semakin mendapat perhatian ketika ini di mana peniaga akan mempromosi barang-barang yang hendak dijual kepada pengikutnya di laman sosial.
Ketika jual beli itu, peniaga tersebut akan mencedok pelbagai jenis barangan yang diletakkan di dalam bekas yang lebih besar menggunakan senduk atau seumpamanya.
Malah, pembeli hanya menetapkan nilai atau harga belian, dan peniaga akan mencedok sekali atau beberapa kali dan barang-barang yang dicedok itu secara automatik menjadi milik pembeli.
Antara barangan yang dijual itu pula terdiri daripada gula-gula, aksesori, barang kosmetik dan seumpamanya dengan harga tertentu untuk satu cedokan.
Dalam erti kata lain, pembeli tidak ada pilihan dan hanya perlu menerima serta reda untuk mengambilnya walaupun mungkin sebahagian barangan yang diperolehi tidak diperlukan dan tidak diminati. – UTUSAN