MELAKA: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka menamatkan bantuan kepada 1,541 penerima bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Nordin berkata, penamatan itu berdasarkan hasil kajian semasa yang mendapati, penerima tidak lagi menepati syarat kelayakan menerima bantuan.
Menurut beliau, berdasarkan semakan, sebahagian besar penerima yang ditamatkan sudah meninggal dunia iaitu seramai 794 orang atau 51.5 peratus.
“Penerima yang menukar skim bantuan pula seramai 193 orang, mampu berdikari (151), lain-lain (145), tidak layak (134), berpindah keluar daerah (123) dan seorang dirujuk ke agensi lain.
“Penamatan ini tidak dilakukan begitu sahaja tapi setelah melalui proses kaji semula berdasarkan keadaan semasa oleh pegawai JKM. Wujud beberapa kriteria yang menyebabkan bantuan perlu ditamatkan,” katanya dalam sidang akhbar ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini, hari ini.
Kata Kalsom, prosedur kaji semula perlu dilaksanakan sebelum sesuatu bantuan ditamatkan selaras Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat.
Tegasnya, JKM Melaka tidak pernah menggunakan proses berkenaan sebagai satu cara pemutihan atau untuk menamatkan bantuan.
“Penilaian beberapa aspek seperti ekonomi, persekolahan, kesihatan, tempat tinggal, kemahiran, latihan dan lain-lain maklumat yang bersesuaian bagi menentukan keadaan semasa penerima dan keluarga.
“JKM sentiasa membuat penilaian bagi menentukan penerima itu masih layak atau tidak untuk terus menerima bantuan, berdasarkan peraturan kelayakan semasa yang ditetapkan dalam garis panduan permohonan bantuan,” ujarnya.m – UTUSAN