KOTA TINGGI: Kementerian Perpaduan Negara bercadang memperluas Jawatankuasa Semarak Uniti ke setiap negeri dalam usaha menyemarakkan semangat merayakan kepelbagaian kaum di negara ini.
Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, pihaknya telah pun membuat perbincangan dengan kerajaan negeri Johor, Pahang dan Melaka tentang perkara tersebut.
“Jawatankuasa ini kini telah dimulakan di Johor dan mungkin selepas ini ada beberapa kerajaan negeri lain kita wujudkan jawatankuasa Semarak Uniti di peringkat negeri. Di daerah, pegawai daerah akan pengerusikan supaya program berkaitan perpaduan tidak diserah bulat-bulat kepada Jabatan Perpaduan dan Kementerian Perpaduan Negara.
“Sebaliknya, ia jadi tanggungjawab secara bersama bila kita bicarakan soal ketenteraman, kesejahteraan hidup Keluarga Malaysia yang diidamkan, maka kita reka lebih banyak tapak integrasi yang boleh jadi tapak menyatupadukan masyarakat.
“Kita mahu rakyat Malaysia pelbagai kaum faham tentang kepelbagaian bangsa, agama, kaum, adat resam, budaya dan boleh terima. Kita hendak bangkitkan semula semangat kebersamaan dalam merakyatkan perpaduan. Maka kerana itu lahirlah program Semarak Uniti,” katanya selepas merasmikan Program Semarak Uniti Keluarga Malaysia Peringkat Parlimen Kota Tinggi di Dataran Tanjung Sedili hari ini.
Halimah yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, pihak kementerian sudah menggariskan sebanyak 40 program besar dan 160 program kecil di bawah Semarak Uniti Keluarga Malaysia.
Katanya, kesemua program yang diatur juga bukan sekadar untuk sambutan Hari Kebangsaan, malah dianjurkan secara berterusan.
“Kementerian Perpaduan Negara mempunyai tanggungjawab yang amat besar apabila kerajaan melancarkan Keluarga Malaysia yang memerlukan penyertaan di peringkat akar umbi.
“Sudah tentu banyak program kita buat melibatkan penyertaan bersama dan ia bukan program dulu-dulu seperti sukaneka dan benda-benda biasa kerana kali ini tanggungjawab untuk menterjemah dan merakyatkan perpaduan Keluarga Malaysia jadi tanggungjawab yang besar ke atas Kementerian Perpaduan Negara,” katanya.
Antara program diatur adalah sukan uniti, uniti warisan seperti pameran perkahwinan masyarakat Tiong Hua, India, Melayu dan alat muzik pelbagai kaum. – UTUSAN