PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) mengingatkan orang awam supaya tidak terpedaya dengan iklan di media sosial kononnya menawarkan lesen memandu tanpa perlu ke kelas dan ujian memandu.
JPJ menerusi hantaran di Facebook berkata, pihaknya menerima beberapa laporan berkaitan satu iklan menawarkan ‘lesen terbang’ di aplikasi Telegram dan semakan lanjut mendapati iklan berkenaan palsu.
Menerusi iklan itu, terdapat beberapa kategori lesen yang ditawarkan iaitu Lesen Motosikal Kelas B2, Kelas B, Lesen Motokar Kelas D, Kelas E, Lesen Vokasional GDL dan Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV).
“Difahamkan, iklan berkenaan menawarkan lesen memandu pada harga tertentu bermula RM350 hingga RM1,900,” katanya.
Katanya, pihaknya memandang serius terhadap sindiket lesen terbang ini dan siasatan lanjut akan dilakukan termasuk laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Jelasnya lagi, JPJ turut menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dan menghubungi pejabat JPJ yang berdekatan bagi mendapatkan maklumat yang lebih tepat dan sahih. – UTUSAN