Jangan sesekali sengaja cuba ganja ketika Thailand - Utusan Malaysia

Jangan sesekali sengaja cuba ganja ketika Thailand

AIR berasaskan ganja yang dijual kedai-kedai sekitar Thailand di Wang Prachan, Thailand baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Polis memberi peri­ngatan kepada rakyat di negara ini yang berkunjung ke Thailand agar tidak sesekali sengaja mencuba dan menggunakan dadah atau apa-apa produk berasaskan ganja di negara itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, apa-apa produk berasaskan ganja tersebut yang menyebabkan mereka khayal boleh disabitkan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, membawa masuk produk berasaskan ganja juga merupakan kesalahan di bawah akta sama dan akan dituduh memiliki atau mengedar dadah jika ia dalam kuantiti besar.

“Nasihat saya kepada rakyat negara ini yang berkunjung ke negara yang membenarkan pengambilan dadah atau ganja itu membuat ujian saringan air kencing menggunakan test strip di negara tersebut terlebih dahulu sebelum pulang ke Malaysia.

“Ia memandangkan kita sebagai pelancong yang berkemungkinan tidak mengetahui produk makanan yang kita ambil sama ada ia mengandungi ganja atau tidak.

“Oleh itu, bagi memastikan diri kita bebas dari dadah sebelum kita pulang ke Malaysia, kita perlu membuat ujian kendiri tersebut,” katanya.

Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan, masalah pe­nyalahgunaan dadah di negara ini dan aktiviti penyeludupan di sempadan dijangka meningkat berikutan langkah Thailand ‘menghalalkan’ ganja termasuk membenarkan rakyatnya menanam pokok berkenaan di rumah.

Di Thailand, khususnya di pasar-pasar pagi dan kedai serbaneka, pokok serta air minuman berasaskan ganja itu dilihat dijual secara terbuka dan berleluasa sekali gus menjadi tarikan kepada pengunjung menggunakan barangan terlarang itu apabila ke negara jiran.

Tambah Surina, perlu diingat, jika saringan didapati positif dadah di negara ini boleh dihukum di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kandungan ‘Delta-9 tetrahydrocannabinol’ atau THC iaitu kandungan dadah dalam ganja boleh berada dalam badan kita lebih seminggu atau sebulan bergantung kepada badan seseorang.

KAKITANGAN kesihatan memeriksa pokok ganja di rumah hijau Pertubuhan Farmaseutikal Kerajaan (GPO) di Chon Buri, selatan Bangkok, baru-baru ini. – AFP

“Oleh itu, nasihat saya jangan ambil dadah atau produk dadah semasa berada di luar negara. Berhati-hati dengan sampel makanan di negara yang kita lawati, kemungkinan ia adalah produk daripada dadah ganja,” katanya.

Surina memberitahu, pada masa ini, harga ganja di Thailand sekitar RM400 hingga RM500 sekilogram memandangkan negara itu baru sahaja kurang sebulan mengisytiharkan kebebasan menanam dan menggunakan ganja.

Katanya, harga pasaran gelap di Malaysia masih lagi tinggi iaitu sekitar RM2,200 sehingga RM2,500 sekilogram.

“Harga pasaran gelap ganja ditetapkan berdasarkan ke­upayaan penawaran oleh penyeludup dan pengedar.

“Skop penanaman dan penggunaan ganja di Thailand masih bersifat domestik kerana rak­yatnya menggunakan pelbagai kreativiti untuk menghasilkan produk berasaskan ganja.

“Permintaan produk ganja bukan sahaja datang dari penagih ganja tegar malah datang juga daripada penagih kasual yang ingin­ mencuba dadah tersebut bukan secara langsung akan tetapi melalui produk-produk makanan lain,” katanya.

POKOK ganja yang ditemui di hadapan gerai sekitar Bazar Hatyai, Thailand menerusi tinjauan Utusan Malaysia di negara tersebut baru-baru ini. – UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD

GANJA ADA DI MANA-MANA
Dalam pada itu langkah Thailand ‘menghalalkan’ ganja termasuk membenarkan rakyatnya menanam pokok berkenaan di rumah mengundang kebimba­ngan dalam kalangan rakyat dari negara ini mudah mendapatkan bekalan barangan terlarang itu.

Kebebasan tersebut, mungkin mendorong segelintir rakyat negara ini cuba mengambil ke­sempatan menggunakan bahan terlarang itu apabila berkunjung ke negara jiran.

Tinjauan Utusan Malaysia di pasar Wang Prachan, Thailand baru-baru ini mendapati, terdapat produk air minuman dipercayai berasaskan ganja dipasarkan di gerai-gerai di sana dan boleh dibeli oleh sesiapa sahaja termasuk warga Malaysia.

Selain itu, air yang dipercayai berasaskan ganja berwarna kehijauan itu turut dijual dengan harga serendah 57 bhat atau RM7.

Malah air berkenaan juga mudah untuk dibeli memandangkan ada dipasarkan selang dua ke tiga buah gerai di sepanjang kawasan niaga di Wang Prachan.

Hasil tinjauan juga mendapati minuman itu dipercayai berasaskan ganja berdasarkan kepada gambar daun tumbuhan berkenaan yang dipaparkan pada botol air di dalam peti sejuk gerai-gerai di sana.

Tulisan pada botol air itu turut menyatakan bahawa minuman tersebut mengandungi pelbagai khasiat dan vitamin.

Malah, seorang penduduk negeri ini yang enggan namanya didedahkan ketika mengunjungi negara tersebut berkata, selain minuman yang mudah diperoleh di kedai-kedai serbaneka, pokok ganja juga dijual di pasar-pasar pagi dengan harga serendah RM10.

Katanya, selepas Thailand ‘menghalalkan’ penanaman gan­ja, tumbuhan tersebut dilihat terlalu mudah untuk didapati di tepi-tepi jalan.

Malah katanya, ada dalam kalangan pelancong dari negara ini juga dilihat tidak melepaskan peluang merakamkan gambar bersama tumbuhan tersebut namun tidak diketahui sama ada mereka membeli atau sebaliknya.

“Di Thailand kini, pokok-pokok ganja dilihat dijual di pasar-pasar pagi dengan harga murah manakala minuman berasaskan ganja juga mudah diperoleh. Bukan minuman berasaskan ganja sahaja, minuman berasaskan ketum juga ada dijual,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga yang hanya dikenali sebagai Natcha, 35, berkata, sememang­nya terdapat pengunjung Malaysia membeli air berasaskan ganja ini.

Namun katanya, jumlah tersebut tidak begitu ramai kerana mereka menyedari penggunaan ganja adalah dilarang dan salah dari segi undang-undang di Malaysia.

“Tidak ramai rakyat dari Malaysia yang beli air ini dan mereka mungkin hanya ingin mencubanya selepas Thailand membenarkan penggunaan ganja.

“Walaupun kerajaan Thailand membenarkan penggunaan ganja namun ia masih belum dipasarkan secara meluas di seluruh negara ini,” katanya.

POLIS KELANTAN TINGKAT KAWALAN
Di Kelantan pula, polis memperketatkan rondaan ‘laluan’ tikus dan pangkalan haram di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand bagi membendung aktiviti penyeludupan barangan subsidi ke negara jiran menggunakan Sungai Golok.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, rondaan menerusi Op Wawasan dilakukan Pasukan Gerakan Am (PGA) memfokuskan kepada tiga lapisan kawalan iaitu sempadan negara, sekatan jalan raya (SJR) dan sempadan negeri.

“Jika terlepas di lapisan pertama, kita akan mengatur gerak pasukan di lapisan kedua menerusi sekatan jalan raya (SJR).

“Ketiga, sempadan antara nege­ri melibatkan pintu masuk ke Kelantan dari Jerteh serta Besut (Terengganu), Gua Musang (Pahang dan Kuala Lumpur) dan Batu Melintang (Perak),” kata beliau.

Menurut beliau, rondaan oleh Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) terus digerakkan sekiranya polis menerima maklumat berkaitan dengan aktiviti penyeludupan.

Katanya, penugasan itu perlu dipelbagaikan bagi memastikan penyeludup tidak berjaya meloloskan diri.

“Saya harap seluruh masyarakat dapat memberikan kerjasama dalam membantu mengekang aktiviti jenayah ren­tas sempadan,” jelasnya.

Kelantan mempunyai 128 pangkalan haram di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand bermula dari Pos Ibrahim Pencen, Rantau Panjang sehingga Tanjong, Pengkalan Kubor.

Difahamkan, rondaan rutin 24 jam sehari sentiasa dilakukan di kawasan pangkalan haram bagi memastikan keselamatan sempadan negara berada pada tahap terbaik.

Rondaan rutin itu dilakukan menerusi jalan kaki dan pacuan empat roda menunjukkan komitmen tinggi anggota pasukan keselamatan dalam mengekang aktiviti jenayah sempadan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya