Demi memenuhi tawaran yang diberikan pihak stesen televisyen (TV), wujud segelintir penerbit yang mengambil jalan mudah, membuat pinjaman daripada ah long.
Perkara itu didedahkan Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Penerbit Filem Malaysia Malaysia Berhad (Kopelem), Datuk Ayu Puteh.
Beliau berkata, tindakan berisiko itu didorong masalah serta syarat yang dikenakan pihak bank kepada golongan penerbit untuk membuat pinjaman.
“Tidak dinafikan memang ada penerbit yang terpaksa pinjam ah long apabila mereka terdesak untuk menyiapkan drama mengikut surat tawaran (LO) yang dikeluarkan stesen TV.
“Bila LO keluar, penerbit perlu siapkan mengikut masa yang ditetapkan stesen TV,” katanya kepada media selepas majlis perasmian Kopelem di Finas, Hulu Klang, semalam.
Ayu berkata, dilema itu bukan lagi masalah kepada penerbit apabila kerajaan meluluskan kemudahan pinjaman pembiayaan melalui koperasi berkenaan.
Perkara itu diumumkan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar yang merasmikan Kopelem pada hari yang sama.
Tambah Ayu, penerbit drama dan filem digalakkan menyertai Kopelem bagi mendapat manfaat termasuk pinjaman untuk menjayakan projek mereka.
“Sertai kami dan jangan pinjam Ahlong. Kita di Kopelem mahu membantu ahli supaya mudah mendapatkan pinjaman tanpa syarat yang mengekang seperti pihak kewangan yang lain.
“Malah dengan koperasi ini juga ahli menerima banyak peluang termasuk dana yang ditawarkan kerajaan,” katanya.
Mengulas lanjut, Ayu mewakili semua jawatankuasa Kopelem melahirkan rasa syukur apabila usaha selama lima tahun untuk menubuhkan Kopelem akhirnya berjaya direalisasikan.
Katanya, pelbagai proses perlu dilakukan dalam usaha menjadikan Kopelem satu realiti dalam usaha mewujudkan rangkaian bagi memudahkan golongan penerbit di negara ini.
“Kami berharap mendapat sokongan semua pihak dan saya juga berbangga dengan kesemua jawatan kuasa yang dilantik kerana masing-masing mendukung tujuan membantu sesama ahli,” katanya.
Terdahulu Noh turut mengumumkan kementerian memberikan geran sebanyak RM20,000 bagi mengerakkan aktiviti awal koperasi berkenaan.