ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengingatkan pihak-pihak tertentu supaya tidak memaksanya untuk mendedahkan siapa sebenarnya dalang di sebalik pelaksanaan ladang Musang King di Gunung Inas, Baling.
Menurutnya, beliau memiliki maklumat dan tahu siapa individu yang telah menandatangani surat bagi meluluskan tanaman durian berkualiti tinggi itu.
“Saya tahu siapa yang tandatangan surat untuk luluskan Musang King. Semua perkara itu termasuk surat berkaitan ada pada saya.
“Jadi jangan paksa saya dedahkan semua ini. Saya pun dah janji tak mahu main ‘blame game‘, jadi saya akan bersikap adil kepada semua orang,” katanya dalam sidang akhbar selepas berakhir sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang yang cuba membuat usul supaya sidang DUN hari ini membahaskan mengenai tragedi kepala air dan banjir yang berlaku di Kupang pada 4 Julai lalu.
Muhammad Sanusi berkata, ketika ini beliau memiliki dua dokumen yang diserahkan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) iaitu laporan kejadian tersebut serta kronologi situasi yang berlaku di Gunung Inas sejak 2007.
Begitupun katanya, beliau tidak berhasrat untuk mendedahkan kedua-dua dokumen tersebut dalam masa terdekat kerana masih mahu menunggu laporan jabatan teknikal lain seperti Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) agar rangkuman mengenai kejadian itu dapat dibuat.
“Ada macam-macam sebenarnya dalam laporan ini dan kalau mereka (pembangkang) lebih-lebih tadi, mereka kenalah. Semua ada dalam ini dan jika ada ada antara mereka yang tak mahu mengaku, tuduh orang itu dan ini atau mahu salahkan kerajaan negeri dari 2008 hingga 2013, saya mahu katakan sebahagian mereka ada dalam kerajaan sewaktu Musang King diluluskan.
“Takkanlah mereka lupa walaupun sudah bertukar parti. Pada masa itu mereka ada dalam kerajaan malah ada yang bergelar Exco kanan,” katanya.
Dalam pada itu katanya, kesimpulan yang diterima daripada laporan serta kronologi diserahkan JPNK kepadanya itu menunjukkan bahawa kawasan ladang hutan yang telah digondolkan, tidak ditanam semula dengan tanaman lain.
“Sebabnya mungkin kerana mereka berniat untuk menanam tanaman lain iaitu Musang King, selain pokok getah klon balak (TLC) yang ditetapkan dalam kelulusan ladang hutan. Jadi penyelesaian kepada Gunung Inas ini adalah tanam kembali pokok-pokok di situ.
“Cumanya dalam perbincangan saya bersama JPNK semalam, kalau kita tanam TLC, kita perlu menuai TLC tersebut dan gunung itu akan gondol semula. Jadi timbul persoalan sama ada penggondolan itu akan menyebabkan banjir kembali di kawasan terbabit,” katanya. – UTUSAN